Wan Saiful saman individu kerana fitnah

Wan Saiful saman individu kerana fitnah

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memfailkan tuntutan saman terhadap seorang individu atas dakwaan menipu dan memfitnahnya dalam media sosial.

Beliau berkata, peguamnya sudah memfailkan tuntutan terhadap individu bernama Mohd. Shukri Shamsudin yang didakwa menipu dan memfitnahnya melalui satu rakam video.

Katanya, sebelum ini pihaknya sudah menghantar notis tuntutan maaf terhadap individu terbabit namun tidak dihiraukan sebaliknya hanya memadam video berkenaan.

“Dokumen yang berkaitan juga telah dihantar kepada Mohd. Shukri. Saya menganggap apabila dia memadamkan video tersebut, maka itu menunjukkan dia sedar dia melakukan kesalahan memfitnah dan menipu,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya.

Tuntutan tersebut dibuat Wan Saiful melalui Tetuan Chetan Jethwani & Co.

Menurut bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, individu tersebut menggunakan logo UMNO dalam media sosial miliknya dan seorang yang aktif berkempen untuk parti berkenaan.

“Nampaknya kerajaan gabungan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) – (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad) Zahid (Hamidi) ini bukan sahaja diketuai oleh penipu, tetapi sehingga ke peringkat macai (orang bawahan) pun menipu juga.

“Sekarang sila jawab di mahkamah,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Wan Saiful membuat laporan polis terhadap individu tersebut yang didakwa menggunakan media sosial TikTok untuk menyebarkan video berdurasi 15 saat yang berunsur fitnah.

Video tersebut sudah dipadamkan oleh individu tersebut namun sebelum dipadamkan bahan berkenaan ditonton sebanyak 244,000 kali, 8,684 tanda suka dan 1,471 komen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN