Wan Rosdy gesa pihak berkuasa siasat dakwaan ‘memo dalaman

Wan Rosdy gesa pihak berkuasa siasat dakwaan ‘memo dalaman’ AGC

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan wujudnya ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara (AGC) bertarikh 10 September 2019 yang menyentuh enam pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, isu berkenaan adalah mustahak agar perhatian serius diberikan oleh pihak Peguam Negara terhadap perkara ini.

Katanya, ia demi menjunjung kedaulatan undang-undang dan memastikan sistem perundangan kekal berintegriti dan diyakini.

“Siasatan itu amat penting kerana dikatakan antara intipati utama memo tersebut adalah berkenaan cadangan dari pasukan pendakwaan IPIC (syarikat pelaburan petroleum antarabangsa) kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu, yang sebulat suara berpendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie. 

“Siasatan perlu dilakukan dengan kadar segera kerana isu memo ini boleh menggugat kredibiliti serta imej sistem perundangan dan kehakiman negara, sekali gus memberi kesan yang tidak baik terhadap keyakinan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. 

“Malah, ia juga memberi kesan langsung kepada proses perbicaraan di mahkamah yang sedang dihadapi oleh Datuk Najib ketika ini,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, sebuah dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara oleh pasukan pendakwaan IPIC setebal 12 muka surat bertarikh 10 September 2019 menyentuh berkenaan dengan enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Mohd. Irwan.

Isi kandungan dokumen yang tular tersebut berbentuk rekomendasi dari pasukan pendakwaan IPIC yang didakwa ditujukan kepada Tan Sri Tommy Thomas selaku Peguam Negara ketika itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN