PETALING JAYA: Malaysia tidak perlu terburu-buru untuk mengikut langkah negara serantau yang memohon untuk menyertai gagasan baharu ekonomi yang diterajui Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan yang dinamakan BRICS.
Penganalisis ekonomi berpendapat, negara perlu melakukan kajian dan penelitian berhubung kebaikan dan keburukan yang secukupnya sebelum mengambil apa-apa pendirian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Kanan Pusat Pengajian Pasifik Malaysia, Oh Ei Sun berkata, perlu diingat bahawa negara bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) bukan sahaja daripada China, tetapi juga Amerika Syarikat (AS).
“Jika kita merasakan kita boleh memperoleh lebih banyak manfaat dengan memohon untuk menyertai BRICS, maka kita harus melakukannya, tetapi jika tidak, maka kita tidak patut melakukannya.
“Perlu diingat bahawa kebanyakan pelaburan berteknologi tinggi kita datang dari AS, maka perlu menilai apakah faedah daripada dedollarizing (mengurangkan kebergantungan dolar AS).
“Selain itu, kita boleh pertimbangkan untuk menyertai jika BRICS kekal sebagai blok ekonomi yang tegas terhadap Barat atau G7 (kumpulan tujuh negara maju). Jika ia menjadi sangat dipolitikkan, maka kita perlu berfikir dengan teliti kerana ekonomi kita masih banyak bergantung pada Barat dan G7,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung kewajaran Malaysia menyertai BRICS susulan Thailand, Vietnam dan Indonesia dilaporkan sudah memohon untuk menyertai kumpulan ekonomi tersebut.
Namun BRICS dilapor cuma menjemput Arab Saudi, Iran, Ethiopia, Mesir, Argentina dan Emiriah Arab Bersatu.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latif berpandangan, Malaysia harus sentiasa membuat kajian penelitian dari segi manfaat dan keburukan sebelum menyertai mana-mana gagasan ekonomi.
“Sebagai negara yang telah meratifikasi perjanjian bebas perdagangan di bawah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Malaysia harus melihat bagaimana BRICS ini boleh menjadi nilai tambah atau sebaliknya.
“Jika berlaku situasi global yang tidak bergantung sepenuhnya, Malaysia harus mencari cara supaya fenomena itu akan mengurangkan kesan ketidaktentuan yang menyebabkan Ringgit tidak stabil,” katanya.-UTUSAN










