KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai kerjasama dengan Hannam Universitiy (HNU), Korea Selatan bagi memacu pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.
Menerusi kerjasama yang terjalin itu, ia akan membantu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduan yang berdaya saing, kreatif, inovatif serta mempunyai kebolehpasaran yang meluas dengan mengambil konsep kejayaan PMKS di Korea Selatan.
Pengarah Unit Keusahawanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Mat Salleh Ayub berkata, ia sebagai langkah awal dalam menjalinkan hubungan tiga hala antara UMS, industri dan agensi kerajaan dalam pertumbuhan PMKS selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Bagi melestarikan kerjasama antara kedua-dua universiti ini, program perkongsian, pemindahan pengetahuan dan teknologi serta pembelajaran berasaskan penghasilan produk akan dianjurkan melalui program mobiliti graduan dan staf antara UMS dan HNU,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Jalinan kerjasama tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani dokumen surat hasrat (LoI) yang disempurnakan oleh Dekan FPEP, Prof Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim mewakili UMS, dan Pengarah Campus Innovation Park, Prof. Dr. Gu-Hwan Ho yang mewakili HNU.
Menurut Mat Salleh, kerjasama tersebut memberi fokus kepada pemerkasaan peranan universiti dalam mengeksploitasi potensi membangunkan PMKS dalam kalangan graduan.
“Melalui projek Leaders in Industry-University Cooperation (LINC 3.0) yang diketuai oleh Prof. Peter Lee dan Ketua Pegawai Eksekutif Hannam Bio Co., Sang-Sun Song, inisiatif ini dapat membuka ruang kepada FPEP UMS untuk turut serta dalam penerokaan membangunkan inkubator dengan menggunakan model atau Captone HNU,” katanya.
Delegasi ke HNU, Korea Selatan itu diketuai oleh Mohd. Rahimie dan disertai Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS, Prof. Dr. Jumat Sulaiman; Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FPEP, Dr. Sharifah Milda Amirul; dan Pengarah Pusat Luar UMS, Dr. Lim Thien Sang.- UTUSAN










