UMNO Terengganu perlu berubah

‘UMNO Terengganu perlu berubah’

WAN ABDUL HAKIM WAN MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu perlu berubah dan menukar gaya kepimpinan baharu untuk mendekati pengundi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, UMNO tidak lagi boleh berada dalam zon selesa dan berada di atas ‘kayangan’ setelah kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Menurutnya, UMNO perlu melakukan perubahan drastik dari segi kepimpinan di akar umbi hingga ke peringkat tertinggi kepimpinan negeri.

“Jika masih menggunakan pendekatan sekarang, bagaimana UMNO Terengganu mahu mengharapkan hasil yang berbeza? Ia adalah sesuatu yang amat mustahil berlaku.

“Semua pemimpin tertinggi di peringkat negeri dan nasional perlu bertanggungjawab atas kekalahan yang besar semasa PRU-15 dan PRN serta berlapang dada untuk berundur diri demi parti.

“Hampir tidak kelihatan apa-apa langsung taktik pertempuran di Terengganu ketika PRN lalu dan jika ada di saat akhir pun, ianya tidak lagi berkesan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Pada PRN lalu, Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan kesemua lapan kerusi Parlimen pada PRU15 tahun 2022.

Beliau berkata, sebagai contoh, selepas Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya pada tahun 1999, Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Wan Mokhtar dan rakan-rakan kepemimpinannya mengundurkan diri dan memberi ruang pada barisan pelapis.

“Teraju seterusnya dipimpin oleh Tan Sri Idris Jusoh dengan ‘Gelombang Biru’ dan hasilnya BN berjaya menawan kembali Terengganu pada pilihanraya tahun 2004.

“UMNO Terengganu perlukan figura politik baharu yang lebih muda dengan idea lebih segar serta bernas untuk membawa cabaran mencapai kemenangan.

“Dengan strategi yang betul dan tersusun mengikut data serta gerak kerja yang rapi, tempoh empat tahun lagi adalah munasabah untuk UMNO Terengganu kembali memenangi hati rakyat terutama dalam menangani isu asas (bread and butter),” katanya.

Ditanya mengenai gelombang kemaraan PN yang mendominasi arena politik negara ketika ini, Wan Hakim yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (AIDUN) Air Putih berkata, ia hanya sekadar trend semasa kerana rakyat tidak mahu lagi negara diterajui UMNO yang sering dimomokkan sebagai parti rasuah.

“Naratif itu berjaya dimainkan hingga pengundi terpengaruh dengan ‘kesucian’ PN sedangkan pemimpin utama gabungan parti itu juga terpalit dengan beberapa kes rasuah.

“Paling penting ketika ini adalah untuk UMNO bangkit semula menjuarai isu-isu rakyat, menawarkan solusi yang realistik dan pelan pembangunan untuk terus membawa Malaysia menjadi negara maju mengikut acuan sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN