Tiga PRK: PH-BN perlu menang elak tanggapan hilang pengaruh

Tiga PRK: PH-BN perlu menang elak tanggapan hilang pengaruh

DR JENIRI AMIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu menang dalam tiga kerusi pada pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Parlimen Pulai, Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan DUN Pelangai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, keputusan itu penting bagi mengelakkan tanggapan dalam kalangan rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hilang pengaruh.

Kekalahan katanya, hanya akan menggambarkan sesuatu yang tidak baik untuk mereka melangkah ke hadapan menje­lang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Jadi keupayaan mereka untuk memenangi PRK ini begitu penting bukan sahaja menjaga imej, tetapi memastikan mereka beri keyakinan kepada rakyat (terutamanya) bagaimana mereka dapat bergantung harap sebagai kerajaan memerintah.

“Kalau tidak, saya berpendapat mereka perlu berasa bimbang untuk melangkah menuju PRU16.

“(Tanggapan buruk) tidak kepada Perikatan Nasional (PN) sebab mereka bukan menguasai Kerajaan Pusat, jadi parti kerajaan lebih banyak pihak yang rugi (jika kalah),” katanya ketika dihubungi semalam.

Hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor ditetapkan pada 9 September ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Hari pengundian PRK DUN Pelangai, Pahang pula ditetapkan pada 7 Oktober susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Sementara itu, Felo Penyelidik ILHAM Centre, Mujibu Abdul Muis berpendapat, PH tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan Parlimen Pulai memandangkan keseimbangan pengundi jelas memihak kepada parti itu.

Katanya, daripada kira-kira 160,000 pemilih, lebih 50 peratus pengundi adalah bukan Melayu, manakala pemilih Melayu berjumlah sekitar 44 peratus.

“Jadi, jika katakan pengundi Melayu solid pergi kepada PN , PH masih boleh menang dengan pengundi bukan Melayu. Cuma ini analisis dengan tidak mengambil kira peratusan pengundi dijangka rendah.

“Di DUN Simpang Jeram, gabungan undi UMNO dan PH masih boleh pertahankan kerusi itu. Tetapi katakanlah (peratusan keluar mengundi) pengundi Melayu rendah, pengundi UMNO kurang undi calon PH dan pengundi Cina tidak keluar sebab PRK sahaja, mungkin ada kelebihan PN menang,” katanya.

Di DUN Pelangai, beliau ber­kata, UMNO mempunyai ke­lebihan untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN