Kejayaan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dalam pilihan raya negeri (PRN) bukan sesuatu yang ‘sihat’ kerana tidak berlaku proses semak dan imbang yang efektif khususnya dalam persidangan DUN kelak.
Tiadanya barisan blok pembangkang selepas dimonopoli sebuah parti dibimbangi menyebabkan tiada teguran dan nasihat yang positif diberikan andai berlaku sesuatu kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri dalam penggal ini.
Malah, perjalanan persidangan DUN di negeri itu juga dijangka hambar dengan ketiadaan suara backbencher yang berani mengkritik kerajaan dan tugas tersebut tidak akan dilakukan secara ‘sepenuh jiwa’ dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sealiran fahaman.
Selepas ini, tiada lagi insiden bertegang leher antara wakil kerajaan dan pembangkang di DUN Terengganu, sebaliknya bertukar menjadi tenang dan damai kerana setiap keputusan akan mendapat sokongan penuh ADUN-ADUN.
Dalam sidang DUN penggal lalu, bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Ahmad Said dan wakil rakyat lain daripada Barisan Nasional (BN) sentiasa bangkit mempersoalkan keputusan dan tindakan tertentu yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi ‘menyegarkan’ amalan demokrasi.
Hasil daripada teguran daripada pembangkang itu, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memperbaiki dan memperkemaskan lagi setiap kelemahan demi kepentingan rakyat dan negeri.
Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini bahawa kerajaan Terengganu akan tetap berfungsi seperti biasa walaupun tanpa pembangkang juga boleh dipertikaikan.
Ini kerana tidak semua ADUN Pas dan Bersatu dalam gabungan PN berani untuk bersuara lantang mengkritik kerajaan negeri.
Wakil-wakil rakyat daripada Pas dan Bersatu tentu tidak berani untuk mengeluarkan semua ‘kuku’ untuk menyerang kerajaan negeri kerana dibimbangi dilebalkan sebagai ‘kaki lawan’ dalam kerajaan serta diambil tindakan tertentu.
Bagaimanapun, kerajaan negeri mempunyai pilihan dengan memperkenalkan ADUN lantikan tanpa melalui proses pilihan raya untuk menegur kesalahan dalam pentadbiran kerajaan negeri serta membawa suasa rakyat di persidangan DUN.
Difahamkan kerajaan negeri boleh melantik individu dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkelayakan untuk menjadi ADUN lantikan mengikut peruntukan undang-undang tubuh Terengganu.
ADUN lantikan kali pertama diperkenalkan pada penggal lalu apabila seorang wanita, Zuraida Md. Noor dilantik sebagai ADUN wanita dalam Persidangan DUN penggal lalu.
Mereka yang menjadi ADUN lantikan itu boleh memainkan peranan sebagai suara pembangkang berkesan dalam persidangan DUN nanti. –UTUSAN










