PETALING JAYA: Sebarang urusan mengkaji persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya sama ada Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), walaupun tempoh hayat penggal Parlimen dijangka berakhir pada Disember 2027.
Lapan daripada 222 kerusi Parlimen mendaftar lebih 200,000 pengundi meliputi enam kerusi di Selangor dan dua kerusi di Johor, dengan Bangi mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu 303,430 diikuti Kota Raja (244,712), Damansara (239,103), Subang (230,490) dan Tebrau (223,301).
Bangi mempunyai tiga kerusi DUN dan dua daripadanya mencatatkan pengundi melebihi 100,000 iaitu Kajang (109,785), Sungai Ramal (97,415) dan Balakong (104,269).
Bukan itu sahaja, 222 kerusi Parlimen mula dipertandingkan sejak 2008. Angka itu kekal selama 15 tahun tanpa sebarang pertambahan kerusi sedangkan kerusi DUN bertambah sebanyak 24 kerusi iaitu daripada 576 kerusi kepada 600 kerusi.
Sejak persempadanan semula kali terakhir pada 2018, jumlah pengundi berdaftar meningkat daripada 12.3 juta pada PRU14 kepada 15.7 juta (PRU15) ekoran pelaksanaan daftar pengundi automatik dan remaja 18 tahun dibenarkan mengundi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menjelaskan, apa-apa urusan persempadanan baharu hanya boleh dibuat selepas tempoh lat lapan tahun berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 113 Fasal 2(i).
Katanya, oleh kerana ulangkaji urusan persempadanan terakhir ialah April 2018, maka had lapan tahun hanya akan cukup tempohnya pada April 2027. Hanya selepas tempoh itu ulangkaji persempadanan baharu dapat dimulakan.
“Di waktu sama, Perlembagaan Fasal 2(ii) Perkara 113 juga menetapkan setiap proses urusan Ulangkajian Persempadanan yang dibuat itu hendaklah disiapkan dalam tempoh maksimum dua tahun dari tarikh bermulanya ulangkaji itu.
“Mengikut fakta proses dan tindakan yang mesti dilakukan SPR selari dengan syarat-syarat di bawah Perlembagaan serta pengalaman sendiri semasa pelaksanaan urusan persempadanan 2003 dan 2018, paling cepat urusan dapat disiapkan ialah antara 18 hingga 20 bulan dari tarikh bermulanya proses ulangkaji persempadanan itu,” katanya ketika dihubungi.
Wan Ahmad berkata, selepas dibahas dan diluluskan Parlimen, ia perlu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan untuk kegunaan dalam PRU.
“Justeru, jika sekalipun SPR dan Perdana Menteri bersetuju membuat ulangkaji kawasan bahagian pilihan raya baharu selepas cukup tempoh lat lapan tahun, persempadanan baharu masih belum sempat digunakan pada PRU16 sebelum tempoh hayat penggal Parlimen akan tamat pada Disember 2027,” katanya.
Jelasnya, jika sekalipun kerajaan tangguh pembubaran dan membiarkan Parlimen terbubar dengan sendirinya pada Jun 2028, proses ulangkaji persempadanan baharu bermula pada 2027 masih belum sempat disiapkan.
“Atas kekangan fakta peraturan yang ditetapkan Perlembagaan, untuk PRU16, SPR akan masih menggunakan persempadanan dan jumlah kawasan bahagian pilihan raya 222 Parlimen dan 555 jumlah DUN seluruh negara yang sedia ada,” katanya.
Kajian semula persempadanan bagi Semenanjung telah diadakan sebanyak enam kali bermula pada 1958, 1974, 1984, 1994, 2003 dan 2018 manakala persempadanan Sabah dan Sarawak diadakan pada tahun berbeza.
Dalam sidang Parlimen pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun.
Beliau berkata, ia juga boleh diadakan sekiranya terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau DUN. –UTUSAN










