Tema, logo Hari Kebangsaan: Perlis tunggu arahan Pas pusat - Utusan Malaysia

Tema, logo Hari Kebangsaan: Perlis tunggu arahan Pas pusat

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri belum menerima sebarang arahan setakat ini berhubung penggunaan logo dan tema Hari Kebangsaan alternatif bagi sambutan di peringkat negeri.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pucuk pimpinan parti sebelum membuat sebarang penetapan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, sekiranya pucuk pimpinan parti telah membuat penetapan berkenaan, kerajaan negeri tiada masalah mengikut keputusan itu.

“Saya baru tengok di media sosial dan buat masa ini belum dapat apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan.

“Kita akan bincang dahulu dengan pucuk pimpinan dan sekiranya penetapan itu dibuat, tak ada masalah,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, negeri-negeri pembangkang berkemungkinan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri berbanding dengan yang diumumkan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Negeri-negeri diperintah gabungan berkenaan berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan sewaktu Majlis Pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan Peringkat Pemuda PN di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum ini turut mengumumkan tema Hari Kebangsaan 2023 ialah ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, setakat ini, kerajaan negeri hanya menggunakan tema yang ditetapkan kerajaan Persekutuan namun tidak membabitkan penggunaan logo Madani bagi sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri.

“Guna logo berbeza tak ada masalah, dulu Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun kata tak ada masalah (guna logo berbeza),” katanya.

Untuk rekod pada 2012, Anwar pernah dilaporkan berkata, langkah menggunakan tema alternatif untuk sambutan Hari Kebangsaan di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak akan memecah belahkan kerana tema sedia ada sudah mewujudkan keadaan berpuak-puak.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya mengenai persediaan Hari Kebangsaan peringkat negeri, Mohd. Shukri berkata, segala persiapan telah dilakukan dengan sebaiknya malah terdapat pelbagai pengisian menarik termasuk perarakan sebanyak 350 dron.

Ujarnya, sambutan kali ini dilaksanakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan daripada beberapa kekangan dalam memastikan kelancaran majlis sambutan itu.

“Pada kali ini kita buat di Kompleks DUN kerana Stadium Tuanku Syed Putra sedang menjalani proses baik pulih manakala padang berhampiran Hospital Tuanku Fauziah (HTF) juga tak sesuai kerana dibimbangi akan menganggu pesakit di sana sewaktu perjalanan majlis tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya