PETALING JAYA: Berbanding persembahan teater tradisional warisan Wayang Kulit dan Mak Yong yang lebih popular dalam kalangan masyarakat, drama tari rakyat yang mula diperkenalkan kepada rakyat Kedah iaitu Mek Mulung juga mempunyai keunikan tersendiri.
Terdiri daripada unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik, nama Mek Mulung berasal daripada perkataan ‘mek’ iaitu panggilan pada gadis-gadis, sementara perkataan ‘mulung’ pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Drama TV RTM mengisi slot Panggung RTM dengan menerbitkan telefilem mengangkat Mek Mulung berjudul Angin sempena Hari Kebangsaan Ke-66, tahun ini.
Angin mengisahkan tentang dua beradik, Khabir dan Sufiah yang lahir dalam keluarga pengamal seni tradisional Mek Mulung, di sebuah kampung bernama Wang Budi. Ayah mereka, Pak Saad adalah pengasas kepada gerakan seni tradisional Mek Mulung Seri Mayang.
Setelah Pak Saad meninggal dunia, kedua-dua anaknya itu diamanahkan untuk mewarisi amalan seni tradisional tersebut.
Konflik bagaimanapun timbul apabila kedua-dua beradik itu mempunyai fahaman dan ideologi berbeza mengenai hala tuju seni persembahan tradisional itu.
Keadaan bertambah buruk apabila Sufiah membawa orang luar yang merupakan bangsa lain masuk menyertai Seri Mayang membuatkan Khabir yang mempunyai pendirian konservatif bertambah berang.
Di satu sisi lain, Khabir pula menggadaikan tanah pusaka yang merupakan lokasi Mek Mulung di Wang Budi bertapak menyebabkan kumpulan Seri Mayang berisiko kehilangan tempat.
Perseteruan antara dua beradik ini kemudiannya menyebabkan kumpulan Seri Mayang berpecah sekali gus menjejaskan masa depan seni dan budaya Mek Mulung di Wang Budi yang semakin hilang ditelan arus pemodenan.
Lalu bagaimanakah kesudahannya? Dapatkah kedua beradik ini bersatu semula demi menunaikan amanah arwah ayah mereka mempertahankan warisan budaya ini?
Dibintangi pelakon utama Hairi Safwan, Nadiya Nisaa, Hasnul Rahmat, Taufiq Hanafi, dan Amanda Tan, telefilem yang diarahkan oleh Azrie Izham Hamzah dengan arahan Danny Alamsyah ini akan bersiaran pada 2 September, pukul 9.00 malam di TV1 atau strim melalui RTMklik (www.rtmklik.rtm.gov.my).
Turut sama ditampilkan adalah barisan korus yang terdiri daripada Artis Budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), pemuzik daripada Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB) dan tokoh-tokoh penggiat seni Mek Mulug kumpulan Seri Mahawangsa.