SHAH ALAM: Pemberian insentif RM500 kepada keluarga yang baru berkahwin, kelahiran anak dan wanita kehilangan suami seperti dalam Tawaran Perikatan Nasional (PN) mencuri perhatian rakyat di negeri ini.
Seorang penduduk Seri Setia, Petaling Jaya, Norazman Zainal, 38, berkata, insentif tunai RM500 diberikan kepada setiap kelahiran bayi suatu inisiatif yang amat baik kerana sumber kewangan ketika itu amat diperlukan bagi menguruskan anak baru lahir.

“Kadang-kadang kita tak tahu sama ada bayi sakit perlukan rawatan segera, selain itu keperluan lain seperti lampin pakai buang, pemeriksaan kesihatan dan sebagainya, jadi insentif tersebut bukan sahaja baik tetapi menepati keperluan.
“Malah, bantuan tersebut amat membantu bagi pasangan yang bukan sahaja baru berumah tangga, tetapi menerima kelahiran cahaya mata sulung, ia membolehkan ibu bapa membeli barangan keperluan bayi,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu seorang kakitangan swasta, Azura Azmi, 36, dari Klang berpandangan, tawaran RM500 untuk setiap kelahiran menyebabkan ibu bapa tidak bimbang dengan perbelanjaan ekoran bilangan anak yang bertambah.

“Tawaran ini agak menarik dan tidak patut untuk ditolak. Rakyat sememangnya memerlukan sumbangan dana daripada kerajaan untuk menampung kos anak pada awal kelahiran melibatkan pembelian susu formula dan lampin pakai buang,” katanya.
Sementara itu bagi Inisiatif Wanita Waja, seorang penduduk Pandamaran Klang, Zairani Abdul Ghani, 25, memberitahu, inisiatif tersebut amat membantu suri rumah yang bekerja dan perlu menguruskan anak-anak.

“Walaupun RM500 diberikan selama tiga bulan tidak banyak tetapi ia mampu mengurangkan beban bulanan dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi,” katanya.
Seorang penduduk dari Selat Klang, Khadijah Zaini, 35, berpendapat Inisiatif Wanita Waja menepati keperluan ibu tunggal bagi menghadapi tekanan peningkatan kos sara hidup dan keperluan anak-anak.

“Bantuan sokongan daripada sudut kaunseling, emosi dan pementoran daripada usahawan yang berjaya dalam bidang yang bersesuaian seperti menjahit juga amat diperlukan oleh golongan ibu tunggal ini bagi mereka menjana pendapatan berterusan,” katanya.
Selain itu, turut ditawarkan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini adalah inisiatif menaikkan elaun imam, bilal, siak dan nazir antara RM600 hingga RM1,700.
Bekas setiausaha masjid di Subang Jaya, Reduan Rajuddin, 48, menyatakan, tawaran tersebut sebagai satu berita baik bagi petugas masjid dan surau di negeri ini memandangkan sudah lama tiada kenaikan.

“Sebagai contoh, sekarang ini elaun yang diterima adalah elaun daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),RM850 dan Elaun Kerajaan Negeri RM450.
Tawaran ini dapat membantu golongan tersebut bagi menghadapi kos sara hidup yang tinggi pada masa ini,” katanya.
Bagi seorang usahawan dari Bukit Canggang, Kuala Langat, Che Shah Shairi, 30, pula, tawaran kenaikan elaun kakitangan masjid tersebut memberi keselesaan petugas berkenaan untuk fokus bertugas di surau dan masjid sepenuh masa.

“Golongan yang berkhidmat di masjid tersebut memerlukan sokongan daripada pihak berkuasa. Jadi, tawaran yang tepat pada masanya itu amat menarik dan rugi untuk dilepaskan,” katanya. – UTUSAN