YAN: Bekas kapten pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dalam pilihan raya negeri (PRN) semalam mengakui kerjaya sebagai wakil rakyat berdepan tanggungjawab lebih besar.
Baddrol yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan berkata, antara perbezaan ketara adalah beliau perlu akur kepada arahan atau pandangan pucuk pimpinan parti berbanding tugasnya sebagai ketua di padang bola bagi mengawal pemain sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya akui sebagai pemimpin khususnya bergelar yang berhormat ini memerlukan komitmen tinggi dan perlu sentiasa memenuhi tanggungjawab dan janji yang diberikan khususnya sepanjang tempoh PRN ini.
“Tambahan lagi dengan harapan dan pilihan pengundi kawasan Gurun ini yang memilih saya tentunya mereka mahukan perubahan dari semua segi untuk dilaksanakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Baddrol, dalam usahanya menunaikan janji yang dibuat, beliau terlebih dahulu akan berbincang dengan kepimpinan dan jika dipersetujui segalanya akan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan kepada penduduk.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini manifesto saya adalah untuk bekerja kuat dan cuba memenuhi segala kehendak penduduk yang bersesuaian.
“Tambahan lagi dengan kedudukan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sudah tentu saya akan berusaha sehabis baik untuk melaksanakannya dan ia akan berlaku selepas saya mendapat pandangan semua pihak terutama kepimpinan,” katanya.
Keputusan PRN bagi kerusi DUN Gurun memihak kepada Baddrol selepas menewaskan pencabarnya, Mohammed Firdaus Johari daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 6,584 undi.
Baddrol memperolehi 17,771 undi, manakala lawannya 11,187 undi sekali gus memadamkan legasi keluarga Tan Sri Johari Abdul.
Sementara itu bapaya, Bakhtiar Mat Isa, 66, berkata, dia bersyukur dengan kemenangan anaknya dan yakin Baddrol mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin politik.
“Kami sekeluarga akan terus memberi sokongan kepadanya dan berharap dia akan terus belajar untuk menjadi pemimpin yang baik kepada rakyat yang diwakilinya.
“Kami tahu walaupun dia kurang bercakap tetapi dia mampu dan berkebolehan untuk menjadi pemimpin tambahan lagi dengan sikapnya yang sentiasa ingin berjaya seperti yang pernah ditunjukkan sepanjang dia bergelar pemain bola sepak,” katanya. – UTUSAN










