'Tak perlu jelmakan watak hantu, cukup bunyi dan rasa'

‘Tak perlu jelmakan watak hantu, cukup bunyi dan rasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKON senior, Noorkumalasari menasihatkan pelakon baharu supaya menjaga disiplin ketika berlakon serta memastikan watak yang digalas benar-benar memberi kesan kepada penonton. 

Bagi tujuan itu, katanya, mereka perlu memberi 100 peratus fokus terhadap sesuatu drama atau filem yang dijayakan dengan tidak mengambil tawaran lain dalam masa sama. 

Aktres yang pernah bergelar supermodel ini memberitahu ia juga adalah sebahagian tips bergelar pelakon profesional yang mampu menjiwai semua watak dengan baik. 

“Kalau berlakon sesebuah filem, jangan ambil drama atau filem lain sebab watak itu akan terganggu. Ia akan menyebabkan kita tak dapat fokus dan akhirnya merosakkan karakter yang dibawa. 

“Dulu kalau sebulan bawa watak, sampai saya terbawa-bawa dekat rumah dan di luar set penggambaran. 

“Bersikap profesional dengan tugas anda dan jangan sesekali tamak ‘sapu’ semua tawaran. Sebab anda sudah dibayar dan diberikan kepercayaan untuk melakonkan sesebuah watak,” katanya ketika ditemui semasa tayangan perdana filem Rahsia, baru-baru ini. 

TAK PERLU REHEARSAL, SUKA SPONTAN 

Rahsia merupakan naskhah seram yang diolah dan dirombak daripada karya asal yang pernah diterbitkan pada 1987, sehingga dinobatkan sebagai filem terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-7. 

Watak utama bernama Ramlah digalas oleh Nabila Huda yang pernah dilakonkan oleh Noorkumalasari dalam versi asal.  

Ketika ditanya bagaimana menggalas watak seram tiga dekad lalu, Noorkumalasari berkata, dia lebih gemar berlakon secara spontan berbanding melakukan latihan berulang kali. 

“Watak itu (Ramlah) tak boleh berlatih sebab nanti anda akan jadi over-acting. Kalau pengarah suruh rekod kali kedua, saya akan bincang dulu apa yang dia mahu dan apa yang kurang. 

“Bimbang nanti akan nampak seperti badut kalau berlatih banyak kali. Sebab itu, saya lebih suka menjayakan sesuatu watak secara spontan. 

“Kadang-kadang pengarah sudah berpuas hati, tetapi saya sendiri minta diulang balik lakonan sebab rasa macam tak fokus dan menjiwai watak,” kongsinya yang kini bergelar suri rumah sepenuh masa.  

Noorkumalasari yang pernah popular menerusi lagu Selamat Pagi Sayang berkata, melakonkan watak seram menuntut penghayatan dan penjiwaan yang sangat mendalam. 

“Kalau adegan seram anda perlu betul-betul dapatkan rasa takut itu, kalau menangis betul-betul nampak menangis dalam ketakutan, kalau berpeluh betul-betul berpeluh ketakutan. 

“Kalau dulu tiada watak hantu, jadi anda perlu imaginasi yang tinggi. Cerita suspense thriller ini hantu tak menjelma pun tetapi lebih kepada bunyi dan rasa,” katanya. 

Disoal sama ada watak hantu perlu dijelmakan atau sebaliknya, Noorkumalasari berpandangan tidak perlu kerana darjah keseraman itu bukan bergantung kepada penampakan entiti. 

“Tak perlu sebab ada beberapa filem seram dari luar negara, hantu tak dijelmakan sampai ke hujung filem. Mereka hanya tunjuk bayang-bayang sahaja. 

“Namun, ada juga beberapa filem yang tonjolkan hantu sebab penonton suka,” katanya yang menceburi bidang lakonan sejak zaman kanak-kanak, pada 1960.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN