Tak mudah berperang dengan diri sendiri - Wanna Ali - Utusan Malaysia

Tak mudah berperang dengan diri sendiri – Wanna Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memang, sebagai seorang manusia sukar sekali perasaan puas itu singgah dalam hati. Pasti akan hadir rasa tidak cukup.

Bukan tidak mensyukuri kurniaan rezeki apa adanya, tetapi kita mahu capai lebih. Menyelami rasa hati pelakon cantik manis, Wanna Ali, dia mengakui, setiap langkah hampir sedekad dalam industri seni belum membawa dia ke puncak kepuasan.

Dalam hatinya, dia belum berusaha lebih. Namun ada sesuatu yang menghalang kakinya melangkah maju.

Dia berdepan dengan tembok yang cukup besar untuk diruntuhkan, dirinya sendiri. Keyakinan dan kemampuan sering kali menjadi persoalan minda.

“Kadang-kadang, terdetik di fikiran, di usia 26 tahun ini, apa yang sudah saya capai? Saya tidak mahu sekadar selesa dalam satu zon sahaja. Saya tahu saya boleh buat lebih.

“Normal untuk seorang manusia berasa tidak puas. Bukan secara negatif, tetapi kita mahu terus berusaha. Mencapai sesuatu yang kita impikan. Mungkin sukar tetapi itulah kehidupan.

“Sebelum ini saya rasa diri sendiri adalah penghalang terbesar untuk saya mencuba sesuatu. Perasaan takut, tidak yakin dan tak percaya diri itu sentiasa ada. Itu memakan diri sebenarnya,” kongsinya.

Tidak mudah untuk kita berperang dengan diri sendiri. Perasaan takut, kurang yakin diri yang merantai kaki adakalanya membuatkan kita lelah. Lantas, usaha yang terbina sekadar di separuh jalan.

Namun kematangan dan pengalaman hidup yang telah dilalui banyak mengajar pemilik nama Nor Syazwana Mohd. Ali ini untuk tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Dia harus berani, melawan perasaan sendiri.

“Saya selalu cakap dengan diri sendiri, kau boleh buat lebih. Kena berani bersuara, saya adalah kekuatan untuk saya sendiri. Keraguan itu pasti ada cuma saya tanya balik, sampai bila?

“Saya mahu lebih dalam bidang lakonan, ada watak dan karakter yang saya impikan. Saya mahu ceburi bidang fesyen, menjadi seseorang yang memberi inspirasi. Saya tak mahu jadi tin kosong.

“Banyak perkara dan isu yang saya mahu kongsi. Mungkin ketika ini orang lihat saya lebih banyak diam, tetapi saya rasa sudah tiba masa untuk ‘bersuara’. Kalau bukan untuk diri sendiri, demi industri seni,” katanya.

SISI GELAP INDUSTRI SENI

MUNGKIN di mata segelintir pemain industri seni, laluan pelakon Ada Apa Dengan Dosa ini untuk kekal dalam gelanggang sangat mudah. Dia tidak perlu bergolok gadai, berhempas pulas.

Masakan tidak, ibunya seorang penerbit terkenal, Datuk Ayu Puteh. Lantas bukankah itu adalah tiket emas untuk dia membintangi apa juga drama atau filem terbitan produksi sendiri?

Tetapi itu silap sama sekali. Dia juga ada kepayahan, yang tidak terlihat di mata kasar kita. Biarpun mungkin dia bebas memilih karya, hakikatnya dalam perniagaan, terma anak bukan satu bonus.

“Ramai yang cakap, untunglah jadi anak penerbit. Ya untung, tetapi bukan dari segi usaha untuk kekal dalam industri. Saya juga ada ujibakat sendiri. Saya juga perlu melalui proses-proses yang sama.

“Pada masa sama, saya juga perlu membuktikan bakat dan kemampuan. Takkan saya hanya mahu selesa bekerja dengan produksi keluarga? Saya dambakan tawaran produksi luar.

“Sebab itu, saya tak boleh ambil mudah. Biarpun bekerja di bawah produksi ibu sendiri, saya tetap beri yang terbaik. Kerana juri sebenar adalah penonton. Mereka yang menilai lakonan kita,” ujarnya.

Namun keuntungan sebenar yang disyukuri Wanna adalah bagaimana dia boleh lolos daripada sisi gelap industri seni. Di kala ada rakan artis tidak kira wanita atau lelaki berdepan gangguan seksual, dia bebas terbang.

“Ibu saya ‘orang lama’ dalam gelanggang seni, jadi ramai pelakon tidak berani untuk ‘sentuh’ saya. Bukan sentuh dari segi mengajar atau kongsi ilmu, tetapi gangguan seksual dan body shaming.

“Ramai rakan artis yang mengadu terpaksa ‘melayan’ kerenah pemain industri yang pantang tengok pendatang baharu. Ramai yang terpaksa redah sahaja untuk bina nama, cari peluang.

“Itu realiti yang berlaku dalam industri seni kita sebenarnya. Nampak gah, glamor di luar tetapi dalam, masih ada saki baki manusia yang menggunakan nama dan kuasa untuk kepentingan serta nafsu sendiri,” tegasnya.

Lantas kedudukan dan nama yang diidamkan satu hari nanti mahu digunakan sebaiknya oleh Wanna. Dia mahu bersuara, melawan ‘raksasa’ seni dan membantu rakan artis yang memerlukan.

“Saya rasa isu ini jarang diketengahkan. Sedangkan perkara itu berlaku. Ada yang sampai trauma serta depresi kerana dimalukan apabila diganggu secara terbuka. Tetapi tak berani buka mulut.

“Sebab apa? Sebab takut jika tiada peluang berlakon lagi. Industri seni kita ini kecil sahaja. Jadi, perasaan takut itu lebih merajai diri daripada mahu melawan,” katanya.

KONTROVERSI? TIDAK

DI kala ini, ada segelintir artis yang sanggup menuai kecaman daripada kontroversi murahan yang dicipta sendiri. Bagi mereka, populariti itu jauh lebih penting daripada segalanya.

Tetapi bagi pelakon Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini, kontroversi itu bukanlah satu-satunya jalan mudah untuk kekal dalam gelanggang seni. Jika itu caranya, di mana letakkan bakat dan usaha?

“Tak mahulah popular sebab kontroversi dan publisiti murahan. Saya tidak menghukum mana-mana rakan artis, saya bercakap secara general. Cuma untuk saya, tidaklah sama sekali.

“Saya ada nama dan hati yang perlu dijaga. Tidak sewenang-wenangnya saya perjudikan semua itu semata-mata untuk popular. Biarlah saya kekal begini, slowly but surely,” katanya.

Percaya dengan rezeki, Wanna dalam pada masa sama tidak sabar untuk menerjah menembus kanvas peluang seni yang bakal terbentang luas di hadapan kelak.

“Saya tahu sukar, tetapi saya akan cuba wujudkan peluang dengan bakat dan kemampuan. Menceburi bidang perniagaan, yang mungkin sebelum saya takut untuk cuba,” katanya.

Bercakap pasal kerjaya seni, wajah Wanna bakal menghiasi layar kaca anda dengan naskhah baru bergandingan dengan pelakon serba boleh, Alif Satar menerusi drama, Bukan Sekadar Lafaz di TV3.

“Saya juga melancarkan single baharu. Mungkin tajuk sama atau berbeza. Kita tunggu nanti. Teruja tetapi gemuruh juga kan. Penonton sekarang pula kuat menilai. Harapnya, ba

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN