Sultan Brunei adakan lawatan ke Malaysia

Sultan Brunei adakan lawatan ke Malaysia

SULTAN HASSANAL BOLKIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan lawatan ke Malaysia mulai hari ini hingga 4 Ogos ini sempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) kali ke-24 antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Menurut Wisma Putra, Sultan Brunei akan diraikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu Majlis Sambutan Negara di Istana Negara pada 3 Ogos 2023.

“Ini disusuli dengan kunjungan menghadap ke atas Agong dan satu Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Brunei Darussalam dan delegasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Brunei turut dijadual menghadiri majlis itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagai mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei, ALC akan memberikan peluang bagi kedua-dua pemimpin membincangkan kemajuan kerjasama dan isu-isu dua hala yang tertunggak.

“Kedua-dua pemimpin akan menggunakan peluang ini untuk membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” kata Wisma Putra.

Sejajar dengan majlis tersebut, Wisma Putra memaklumkan, kedua-dua pemimpin negara akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara kedua-dua buah negara.

“Lawatan ini akan dapat memperkukuh lagi hubungan erat dan pelbagai jalinan kerjasama yang telah lama wujud antara kedua-dua buah negara yang juga rakan kongsi ASEAN,” katanya.

Brunei Darussalam adalah rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar di rantau ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM13.22 bilion (USD2.98 bilion) pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 68.4 peratus berbanding 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN