PARIT BUNTAR: Suami kepada seorang wanita yang meninggal dunia hari ini selepas lemas dalam kejadian bot terbalik di Pantai Teluk Batik, Lumut semalam mendakwa bot yang mereka naiki dipandu laju.
Mohammad Hafiz Johari, 31, suami Nurulafiqah Abdullah Sani, 34, iaitu wanita yang meninggal dunia hari ini selepas lemas dalam kejadian semalam berkata, bot yang mereka naiki dipandu laju ketika membuat pusingan semasa menuju ke pantai lalu terbalik.
Menurutnya, ini menyebabkan semua penumpang dan jurumudi bot terjatuh ke dalam laut.
Katanya, ketika kejadian, dia bersama isteri dan dua anak mereka, serta seorang adiknya menaiki bot tersebut bersama dua buah keluarga yang lain.
“Saya duduk di sebelah kiri bot sambil memangku anak kedua, Ainul Mardiah, 3, adik saya pula duduk di sebelah kanan manakala isteri saya di bahagian tengah bot.
“Ketika dalam perjalanan pulang ke pantai, bot dipandu laju ketika membuat pusingan ke arah kanan menyebabkan bot terbalik ke sebelah kiri.
“Akibatnya kami semua terjatuh ke dalam laut namun saya tetap pegang erat anak perempuan saya. Saya cuba mencari anak lelaki, Ahmad Haziq Danish, 6, dan mendapati adik saya juga selamat.
“Namun saya tidak nampak kelibat isteri saya ketika orang ramai membawa kami ke tepi pantai,” katanya ketika ditemui pemberita di Bagan Tiang di sini hari ini.
Menurutnya, dia meminta pertolongan orang ramai mencari isterinya yang tidak pandai berenang.
Katanya, setelah lebih 10 minit mencari, isterinya ditemukan di bawah bot yang terbalik dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Orang ramai membantu membuat rawatan kecemasan CPR namun isteri saya masih tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan namun saya dimaklumkan dia meninggal dunia pagi tadi,” katanya.
Jenazah Nurulafiqah dibawa ke rumah ibunya di Bagan Tiang di sini dan tiba pada pukul 2.30 petang. Jenazah dikebumikan selepas solat Asar.
Nurulafiqah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.58 pagi tadi di Hospital Seri Manjung (HSM) selepas lemas dalam kejadian bot terbalik di Teluk Batik semalam.
Dalam kejadian semalam, sembilan individu termasuk tujuh pelancong warga tempatan berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka terbalik.
Dua daripada mereka didapati lemas dan dibawa naik ke darat oleh orang awam.
Difahamkan, bot rekreasi yang dinaiki dua sekeluarga bersama dua krew itu terbalik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai. – UTUSAN