Suami isteri diikat, diacu parang penyamun bertopeng

Suami isteri diikat, diacu parang penyamun bertopeng

AZLAN Shah Mat Room melihat rumahnya yang berselerak selepas digeledah sekumpulan penyamun bertopeng di Kampung Nibong, Hulu Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sepasang suami isteri di Kampung Nibong, dekat sini, berdepan detik cemas apabila diikat kedua-dua tangan dan diacu parang oleh sekumpulan penyamun bertopeng yang memecah masuk rumah mereka, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Azlan Shah Mat Room, 36, dan isterinya, Zaleha Mamat Don, 34, kerugian sejumlah wang tunai serta barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM40,000.

Katanya, kejadian berlaku semasa dia bersiap untuk tidur dan terkejut didatangi enam individu bertopeng serta bersenjata tajam di depan pintu biliknya.

“Saya tidak sempat berbuat apa-apa. Mereka meluru masuk ke dalam bilik dan menyuruh saya meniarap atas katil sebelum kedua-dua tangan diikat menggunakan langsir yang dikoyak perompak.

“Isteri yang sudah tidur ketika itu dikejutkan mereka dan turut diikat serta dipijak perompak. Bagaimanapun mereka membuka semula ikatan isteri sebelum melarikan diri kira-kira pukul 3 pagi.

“Sejurus selepas itu, isteri terus membuka ikatan tangan saya dan kami segera ke rumah bapa saudara yang tinggal berdekatan bersama dua anak lelaki berusia tujuh tahun serta tiga tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Azlan Shah yang merupakan kakitangan pihak berkuasa tempatan berkata, dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya yang tidur di bilik bersebelahan tidak diapa-apakan serta tidak menyedari kejadian berlaku hampir dua jam itu.

Katanya, sekumpulan perompak tersebut memecah masuk rumahnya melalui tingkap bilik tidur anaknya dan sebelum kejadian dia terdengar bunyi sesuatu dari bawah rumah namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Biasanya waktu malam lembu berada bawah rumah, sebab itulah saya cuma ingat haiwan itu. Tidak sangka rupanya sekumpulan perompak menarik tangga untuk memecah masuk rumah.

“Sepanjang lebih 10 tahun tinggal di sini, ini kejadian pertama dilalui. Walaupun kerugian puluhan ribu ringgit dan rumah habis digeledah, syukurlah kami sekeluarga selamat,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN