Seni satukan rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Seni satukan rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, industri seni kreatif adalah pemangkin kepada penyatuan bangsa dan dapat meletakkan asas kemerdekaan pada satu aras yang harmoni seiring dengan keunikan Malaysia.

Tambahnya, menerusi seni, semangat kemerdekaan dapat dibangkitkan dengan lagu-lagu yang menaikkan semangat patriotik, pengisian acara dan program yang berkaitan serta melibatkan pelbagai jenis bangsa yang boleh terlibat.

“Industri seni kreatif sangat luas merangkumi muzik, lakonan, skrip, lukisan dan ukiran. Kita boleh menyatukan rakyat dengan rasa cinta dan kasih sayang melalui seni.

“Para pelukis dan penyair juga ada peranan yang tersendiri dengan menghasilkan karya yang dapat membuka mata rakyat untuk menghayati dan menghargai kemerdekaan negara,” katanya.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi, Dr. Soo Wincci pula berkata, setiap anak seni mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik dan memberi inspirasi kepada generasi muda terutama di zaman media sosial ini.

Katanya, pemain industri seni memainkan peranan dalam membantu menyemai semangat cintakan negara sekali gus dapat mencorak masa depan yang lebih baik untuk anak muda.

“Untuk menyemai rasa cinta dan penyatuan itu bukan mudah. Kita sendiri perlu turun padang dan memastikan setiap apa yang kita lakukan termasuk kandungan di media sosial memberi impak positif.

“Kita perlu sedar peranan itu. Menjadi anak seni ini mungkin nampak seronok dan mudah, tetapi sebenarnya bila kita faham dengan tanggungwajab sebagai idola itu, kita akan berusaha memberi yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon kelahiran Sarawak, Tony Eusoff, 46, berharap sudah masanya generasi hari ini mengenang kembali perjuangan yang dilakukan pemimpin terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan.

“Saya rasa negara kita sahaja yang boleh merdeka dengan aman tanpa pertumpahan darah. Walaupun mudah untuk kita melupakan, tetapi semoga kita semua akan selalu mengingati kembali jasa pejuang kemerdekaan sebelum ini.

“Sebagai manusia kita nak cari tempat yang buat kita rasa dimiliki. Saya bertuah kerana saya dilahirkan di Malaysia. Saya bangga kerana tak ada negara yang lebih bagus dan dapat sayang seperti Malaysia.

“Memang tak semua negara sempurna. Saya rasa Malaysia diberkati dengan banyak perkara baik seperti sumber alam dan orang kita yang baik dan sukakan keamanan. Kalau ada masalah kita cuba tangani dengan aman,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN