Sediakah Perlis, Kedah tanam padi lima kali?

Sediakah Perlis, Kedah tanam padi lima kali?

PESAWAH melihat hasil padi yang sudah boleh dituai di Kampung Bawah Bukit, Chuping, Perlis. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelaksanaan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun memerlukan persediaan rapi khususnya dalam aspek sistem pengairan yang kemas, penglibatan pesawah serta kajian berkaitan tanah supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

Meskipun kaedah tersebut mampu meningkatkan produktiviti selain meningkatkan hasil beras negara sekali gus mengurangkan kebergantungan import beras, beberapa aspek asas itu perlu diselesaikan terlebih dahulu khususnya di kawasan Kedah dan negeri ini.

Sebagai rekod, Malaysia perlu membelanjakan RM1.8 bilion bagi mengimport kira-kira satu juta tan metrik beras setahun bagi memenuhi keperluan penduduk di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika ini, hasil beras negara adalah sekitar 1.6 juta tan metrik setahun membabitkan keluasan tanaman 700,000 hektar di seluruh negara.

Di Perlis direkodkan pada tahun 2021, hasil pengeluaran padi semusim sebanyak 154,975,325 tan metrik yang turut membantu menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, jika ingin mengikut modul tanaman seperti di Sekinchan, Selangor iaitu penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun dengan hasil yang banyak, memerlukan sistem seperti di kawasan itu khususnya berkaitan infra perparitan.

Katanya, ketika ini, modul ‘pilot projek’ yang dibuat di Simpang Empat di sini yang boleh dikatakan mempunyai infra perparitan hampir setara dengan Sekinchan, namun ia perlu dikembang dan diperluas di tempat lain dengan banyak perparitan wajib dibaiki dan ditambah baik.

Katanya, ada beberapa perkara lagi selain perparitan jika ingin mendapatkan hasil seperti di Sekinchan seperti infra berkaitan mesin dengan majoriti di kawasan berkenaan menggunakan jentanam dan tidak tabur terus secara konvensional.

“Jika menggunakan jentanam moden pula, tanah kena baiki dan soal tanah jerlus juga kena selesaikan terlebih dahulu. Secara logik, tanah perlukan rehat khususnya dalam soal mengeringkan air di bahagian bawah tanah, supaya tanah tidak jadi lembut untuk jentera berat masuk.

“Apabila ada ekstra satu musim di waktu tanah patut rehat, adakah tanah cukup stabil untuk menerima jentera berat?

“Ia memerlukan kajian betul-betul, jangan nanti yang jerlus (tanah) makin jerlus, yang elok pun jerlus. Mesin padi pula boleh lihat saja tak berani nak masuk. Tak guna padi menunduk di sawah sahaja tapi tak mampu dijual ke kilang.

“Itu soal tanah yang juga menjadi perkara terpenting kalau nak jadi macam Sekinchan. Jadi kenalah bawa sikap petani di Sekinchan itu juga untuk diamalkan di kawasan utara ini,” katanya.

Tambah Ezreen Muhaizi, kadar guna tanah yang tinggi dan kesan jika tanah kurang rehat juga perlu dibuat kajian terperinci.

“Selain itu, penglibatan petani untuk program penanaman padi lima kali dua tahun itu perlu tinggi supaya pelepasan air yang dibekalkan ketika tempoh penanaman tambahan itu tidak terbazir disebabkan kurang penyertaan. Rugi bila jumlah air sama tapi tak banyak petani yang nak guna air itu,” katanya.

Sementara beliau berkata, jika agensi berkaitan bercadang membawa para pesawah melawat Sekinchan jangan sekadar sehari dua dengan mendengar taklimat semata-mata.

“Tapi cuba ajak mereka (pesawah) keluar selepas Subuh melihat kawasan sawah di sana. Perhatikan amalan petani di sana (Sekinchan). Selain import modul, import infra yang setara, kita kena juga import sikap petani di situ juga,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pesawah dari Simpang Empat, Hassan Pin, 57, berkata, dua perkara asas khususnya berkaitan sistem pengairan dan soal tanah perlu diselesaikan jika ingin melaksanakan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun memandangkan di sesetengah kawasan didapati tidak sesuai.

Katanya, perkara infra iaitu pam-pam air juga wajar di letakkan di kawasan-kawasan tinggi untuk tujuan tersebut.

“Jika hendak laksanakan juga, dalam tempoh setahun wajib dilaksanakan sekali putar kering. Kalau tidak putar kering apabila tiba waktu hendak tuai berkemungkinan tanah jerlus. Isunya juga tanah tidak dapat rehat jika penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun itu.

“Kami di sini selalunya tiga kali tanaman dalam tempoh dua tahun. Perkara-perkara asas ini perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×