KEGAGALAN berumah tangga 15 tahun lalu, bukan bermaksud pelakon, Maya Karin tidak mahu mencari pasangan hidup.
Hatinya sentiasa berbunga-bunga untuk mengenali mana-mana lelaki yang sudi menyunting dirinya menjadi isteri.
Baginya, perkahwinan bukan taruhan dan bukan perkara yang boleh dibuat main. Hidup berumah tangga penuh dengan kerukunan agar bahtera yang dibina berlayar sampai ke hujung destinasi.
Tidak mahu bocor atau terumbang-ambing di tengah lautan. Bagi pemilik nama lengkap Maya Karin Roelcke, bercinta boleh saja ramai, berkahwin jangan banyak kali.
“Saya sangat berharap untuk berumah tangga lagi. Saya sudah melalui bermacam-macam perkara dalam hidup. Sudah tentu saya mencari (bakal suami) yang bertanggungjawab. Kahwin ini bukan sampai empat hingga lima kali.
“It’s not a game (bukan taruhan). Saya akan pastikan dapat jumpa (lelaki) yang sayang saya serta mahu menjaga saya seikhlas hati,” kongsinya kepada Pancaindera.
Maya juga sentiasa berfikiran positif dengan kegagalan pernikahan pertama yang dibina sejak 2008 bersama Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali Abdullah.
Katanya, bukan soal trauma menjadi mimpi ngeri, sebaliknya persoalan mengenai tanggungjawab yang perlu diamati sempurna.
“Bukan trauma. Terlalu dramatik bunyinya. Mungkin ada sedikit kerisauan menjengah minda.
“Sebagai individu, sudah pasti tanggungjawab untuk mendirikan rumah tangga adalah sangat besar yang perlu dipikul,” katanya.

BERDAMAI DENGAN TAKDIR
SUDAH tentu menjadi impian setiap pasangan yang berkahwin untuk memiliki anak. Tidak terkecuali buat Maya yang mendambakan cahaya mata.
Ditebak sekiranya mendirikan rumah tangga buat kali kedua ketika usia yang kian lanjut, Maya reda dan yakin dengan ketentuan Maha Esa.
“Saya terima takdir seadanya. Itu adalah ketentuan Tuhan sama ada saya akan dapat anak atau tidak.
“Mungkin boleh ambil anak angkat nanti, saya terbuka dengan apa-apa cadangan. Saya sangat reda sekarang,” luahnya.
Walaupun perkahwinan pertama dengan jejaka Eropah, Maya tidak serik berkenalan lebih rapat dengan ‘mat salleh’ kedua dalam hidupnya.
Kata Maya, bukan bermaksud dia meminggirkan lelaki tempatan, namun ramai yang tidak berjaya melekat di hatinya.
“Kalau kahwin dengan mat salleh saya tetap hendak duduk (tinggal) di Malaysia. Kalau dia ajak duduk di Brazil, saya tak nak. I have to stay in Malaysia,” katanya.

BUKAN JUAL DIRI
BERCERITA tentang lakonan, tidak pernah terbit kerisauan dalam benak pelakon Munafik 2 ini sekiranya tidak ditawarkan berlakon ketika mencecah usia tua.
Sejak awal berkecimpung dalam bidang seni, katanya, bermacam-macam bidang lain dibuat bagi menjana pendapatan.
“Saya berlakon sebab passion. Mahu beri terbaik kepada peminat. Sumber pendapatan saya juga bukan terhad pada lakonan semata-mata.
“Hidup saya ini sederhana. Saya tak suka membazir beli beg tangan, saya hidup simple. Saya tak ‘jual’ diri untuk duit.
“Saya sudah banyak simpanan untuk persaraan kelak walaupun tanpa suami. Saya wanita berkarier dan berdikari,” katanya.

SELEKTIF
PELAKON Gred A ini kerap membintangi filem dan jarang mengambil tawaran drama sehingga timbul dakwaan dirinya begitu selektif. Tegas Maya, dia perlu bersikap sedemikian kerana mengharapkan kualiti dalam setiap naskhah yang dijayakan.
“Saya tak perlu ambil drama ‘bodoh’. Saya dibayar untuk naskhah bagus yang dapat bagi impak pada rakyat Malaysia.
“Kalau cerita sekadar ‘ala-ala’ macam Suami Saya Encik Sotong ke, saya tak perlukan drama seperti itu. Bukan nak tolak sangat drama, pernah berlakon drama tetapi yang betul-betul berkualiti,” tegasnya.
Pada masa sama, Maya berkata, komitmen penerbit drama jauh berbeza dengan penerbit filem dalam pelbagai aspek.
“Sama ada daripada aspek bayaran, kru, kualiti, keutamaan serta kebajikan pelakon.
“Saya sedih bila dengar rakan artis berlakon drama perlu cari baju sendiri, mekap dan sebagainya. Ini tak patut berlaku sebagai seorang anak seni,” luahnya.
Ditebak gandingan hero paling serasi, Maya tidak teragak-agak menyebut nama pelakon, Bront Palarae.
Kongsinya, dia dan Bront merupakan kawan rapat sejak dahulu lagi sehingga pernah terlibat berlakon bersama dalam lapan naskhah di layar perak.
“Macam-macam watak kami dapat. Saya sangat menghormati lakonannya. Dia adalah kawan yang sangat baik dan sentiasa ada ketika saya memerlukan. Begitu juga ketika dia memerlukan diri saya. Kami sangat rapat,” ujarnya.
Maya bakal muncul dengan dua filem tempatan yang dijangka ditayangkan di pawagam pada hujung tahun ini dan awal tahun depan.
Katanya, selama setahun dia terlibat menjayakan dua filem dan menjalani penggambaran di serata negeri seperti di Selangor, Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur.
“Tahun lalu, memang saya sangat sibuk dengan lakonan. Sebuah filem adalah merupakan kerjasama dengan Astro Shaw dan sebuah lagi filem merupakan arahan Osman Ali,” katanya.
Untuk rekod, Seri Dewi Malam adalah filem pertama yang memperkenalkan dirinya dalam pentas lakonan. Filem romantik fantasi yang diterbitkan pada 2001 merupakan arahan sutradara, Aziz M. Osman.









