'Saya dan Reezal Merican saling menyokong' - Rashidi - Utusan Malaysia

‘Saya dan Reezal Merican saling menyokong’ – Rashidi

RASHIDI ZINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Wakil tunggal Barisan Nasional (BN) dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Rashidi Zinol menyifatkan spekulasi kononnya wujud ketegangan dalam hubungannya dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai tidak berasas.

Sebaliknya, Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, hubungannya dengan Reezal Merican ketika ini sangat baik apatah lagi mereka sudah bersahabat sejak dari zaman persekolahan.

“Saya dan Reezal Merican kawan dari sekolah lagi, sebenarnya spekulasi hubungan kami ini orang sekeliling yang bawa.

”Tadi dalam dewan pun kami sapa menyapa, malah kami saling menyokong antara satu sama lain,” katanya di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu, Rashidi mengangkat sumpah jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar sekali gus menyaksikan BN kembali ke dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas 15 tahun.

Sebelum ini, timbul desas-desus kononnya wujud ketegangan berikutan beliau dipilih menganggotai barisan Exco kerajaan negeri berbanding Reezal Merican yang merupakan pemimpin UMNO lebih kanan.

Malah, menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu juga, Reezal Merican menang kerusi DUN Bertam dengan majoriti lebih tinggi iaitu 2,321 berbanding Rashidi yang hanya mendapat majoriti 124 undi, sekali gus dilihat lebih layak untuk diangkat ke dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Situasi juga menjadi lebih hangat apabila terdapa pihak tertentu membuat dan mengedar poster menerusi media sosial kononnya Reezal Merican akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Dalam pada itu, Rashidi berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar dapat membina kekuatan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

”Kita boleh nampak keikhlasan gabungan perpaduan PH-BN untuk membentuk masyarakat madani di negeri ini.

”Keikhlasan ini dapat dilihat menerusi pelantikan wakil BN dan ia dapat menarik sokongan pengundi Melayu kepada Kerajaan Perpaduan PH-BN di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, portfolionya yang dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu juga selari dengan portfolio Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

”Disebabkan itu, lebih mudah untuk saya memohon peruntukan untuk kemajuan masyarakat di desa daripada Ahmad Zahid kerana portfolio kami selari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya