Sasaran program TVET JELITA lonjak ke angka 150,000

Sasaran program TVET JELITA lonjak ke angka 150,000

AHMAD Zahid Hamidi pada Majlis Pelancaran TVET Wanita@Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan pengambilan seramai 150,000 pelajar wanita untuk mendaftar di bawah Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau JELITA menjelang tahun 2026.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sasaran 15,000 pelajar yang ditetapkan sebelum ini dilihat masih angka yang kecil sedangkan permintaan terhadap program adalah tinggi.

“Sebelum ini, pengurusan mensasarkan 15,000 pelajar-pelajar yang akan mendaftar dengan TVET khas wanita ini. Namun kita mendapat tahu permohonan setakat ini telah mencapai 7,000.

“Ini bermaksud jumlah yang disasarkan terlalu kecil. Disebabkan itu, saya telah meletakkan sasaran baharu iaitu seramai 150,000 pelajar dari kelompok wanita. Tempoh mencapai sasaran ini saya letakkan sebelum tahun 2026.

“Seandainya sasaran ini telah dicapai seawal tahun 2025 sekali pun, saya yakin matlamat itu harus ditambah kerana permintaan kepada guna tenaga wanita yang berkemahiran adalah sangat-sangat tinggi.

“Tetapi, mereka ini tidak dapat latihan mengikut bidang-bidang yang menjadi permintaan kepada industri dan saya yakin, menerusi program Jelita ini kita mampu mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran TVET Wanita@Jelita di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Selain itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu juga menyifatkan program pendidikan yang bertumpu kepada kumpulan wanita ini bakal memberi peluang golongan wanita untuk mengembangkan bakat, kemahiran, keterampilan serta pengetahuan.

Malah, beliau berpendapat, golongan wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang bahkan menjadi antara pemangkin pembangunan ekonomi negara.

“Justeru, Program TVET Khas Wanita yang diperkenalkan hari ini merupakan inisiatif yang penting dalam usaha memperkasa golongan wanita dengan membuka peluang untuk pendidikan kemahiran yang dapat meningkatkan kesejahteraan kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN