SERDANG: Polis menahan seorang anggotanya yang berpangkat sarjan selepas disyaki terlibat dalam kes pecah masuk dan curi barang kes di stor ekshibit Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Sabtu lalu.
Tangkapan terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an yang bertugas di bahagian komersial di IPD tersebut dibuat semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih dilakukan selain barang yang dicuri sudah dikenal pasti.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Reman dimohon hari ini dan kita harap dapat untuk 14 hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Ulang Tahun Ke-7 Polis Bantuan Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan stor ekshibit IPD Sepang dipecah masuk sehingga mengakibatkan beberapa barang kes dilarikan penjenayah.
Selain itu, turut dilaporkan hasil pemeriksaan mendapati, suspek memecah masuk dengan memotong dawai atas pagar bahagian stor dan memasuki melalui lubang kaunter tingkap stor. – UTUSAN