Sarjan mengaku salah terima suapan - Utusan Malaysia

Sarjan mengaku salah terima suapan

MOHD. Izzham Halim (kiri) yang mengaku salah menerima suapan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dipenjara selama 272 bulan atas 34 tuduhan menerima suapan berjumlah RM12,500 sejak 2019 sehingga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Mohd. Izzham Halim, 36, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh yang bekerja di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman didakwa menerima RM50 hingga RM3,200 melalui akaun bank daripada seorang individu.

Suapan itu sebagai dorongan untuk menyalurkan maklumat operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kemaman antara 26 Disember 2019 hingga 10 Mac tahun lalu.

Mohd. Izzham didakwa mengikut Seksyen 165 KK dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Sebaik merekodkan pengakuan bersalah, tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermula tarikh dituduh, 14 Mac lalu.

Selain itu, wang sejumlah RM3,200 yang berada di dalam akaun peribadi tertuduh turut dilucut hak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40 ASPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Mohd. Yusof manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Najmi Adila Md. Nasir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya