PONTIAN: Tanaman salak berpotensi menjadi sumber pendapatan sampingan bagi pekebun kerana mampu memberikan pulangan lumayan dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas ditanam.
Seorang pekebun, Norman Ali, 53, kini mempunyai 1,200 pokok salak yang di tanah seluas 0.4 hektar di kawasan kebun getahnya serta di sekeliling rumah.
Katanya, biji benih salak itu dibeli dari Kelantan pada 2020 dan memilih kebun getah bagi menanam pokok salak memandangkan tanaman tersebut memerlukan tahap keredupan 70 peratus pencahayaan.
Berita berkaitan:
“Selain pokok salak betina, pokok salak jantan juga perlu ditanam namun jumlahnya sedikit kerana perlu melakukan pendebungaan bagi mengeluarkan buah.
“Hanya pokok salak betina yang mengeluarkan buah setelah tiga hingga empat tahun ditanam dan buahnya boleh dimakan segar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Lorong Tengah, Kampung Rimba Terjun, dekat sini.
Norman menjadikan penanaman pokok salak sebagai sumber pendapatan tambahan kerana turut menjalankan perniagaan menjual roti canai pada waktu malam berhampiran rumahnya.
“Setiap minggu sebanyak 30 kilogram buah salak dapat dituai atau kira-kira 100 kilogram sebulan yang dipasarkan menerusi kaedah dalam talian de_ngan penghantaran terus kepada pembeli. “Pernah juga dalam tempoh seminggu dapat menghasilkan sebanyak 80 kilogram buah salak disebabkan banyak pokok mengeluarkan buah serentak dan dituai dalam masa yang sama,” jelasnya.
Setakat ini permintaan bagi buah salak mendapat sambutan baik daripada orang ramai sehingga tidak dapat memenuhi pesanan.
“Saya kini menjual terus buah salak kepada pelanggan dengan harga RM12 sekilogram dan berhasrat untuk menambah lagi kawasan penanaman pada masa akan datang,” katanya sambil memberitahu rasa buah dari kebunnya tidak jauh bezanya dengan buah yang ditanam di Indonesia, iaitu manis atau masam-masam manis.- UTUSAN











