Ruffedge ibarat sekolah buat saya - Amer Yusoff - Utusan Malaysia

Ruffedge ibarat sekolah buat saya – Amer Yusoff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSERT Ruffera: That Moment In Time Tour menjadi satu pembuktian bahawa kumpulan Ruffedge, selepas 25 tahun ditubuhkan masih relevan di mata peminat muzik tanah air.

Bersaksikan dewan Mega Star Arena Kuala Lumpur, konsert tersebut dianggap satu lagi pencapaian agung selepas lebih dua dekad kumpulan itu bertapak dalam dunia hiburan tempatan.

Namun, peminat yang menyokong Ruffedge sejak ia ditubuhkan pada tahun 1998 pasti paling tidak pun mengharapkan kemunculan barisan penuh, termasuk bekas anggota asal, Amer Munawer dalam konsert berkenaan.

Amer, secara tidak langsung sebelum ini pernah memberi bayangan tentang ketiadaannya dalam konsert itu.

“Kalau diajak sekalipun, komitmen kami dah lari (tak sejalan). Saya cuba tapi jadual kerja dan keluarga bercanggah. Kalau pun ada panggilan, saya anggap itu rezeki.

“Ruffedge stabil, saya harap mereka teruskan selagi ada permintaan. Saya dengan cara saya, fasa saya sekarang,” katanya.

Amer dalam masa yang sama tidak pernah melupakan permulaannya bersama Ruffedge. Malah, dia berterima kasih kerana kumpulan tersebut banyak membuka ruang dan peluang dalam dunia seni tempatan.

“Saya anggap Ruffedge ibarat sebuah sekolah yang menjadi tapak permulaan kepada saya sehingga ke hari ini.

“Kalau tidak kerana Ruffedge, saya tidak akan melalui perjalanan dalam dunia hiburan,” jelasnya.

Hakikat tidak boleh dinafikan, Konsert Ruffera: That Moment In Time Tour berjaya mengubat rindu 4,500 peminat yang hadir menyaksikan konsert tersebut.

Rata-rata pengunjung terhibur menerusi 25 buah lagu yang dipersembahkan antaranya Goyang, Tiada Lagi Cinta, Tipah Tertipu, Lemas, Da Bomb, Bila Rindu, Khayalan dan banyak lagi.

Bagai tidak dimamah usia, stamina yang diperlihatkan Azan, Cat, Mode, Sein dan Zain ketika beraksi di atas pentas membuktikan kesungguhan mereka dalam memastikan konsert itu berjaya.

Ruffedge turut menyelitkan nyanyian istimewa lagu Azura yang dipopularkan Datuk Jamal Abdillah, Suraya (Indigo) dan Rozana (Search) dengan cara tersendiri.

Sokongan buat Ruffedge tidak hanya datang dari peminat, tetapi juga rakan artis antaranya Nur Fazura dan suami, Fattah Amin, Zizan Razak, Nana Mahazan dan ramai lagi.

Bagi yang hadir, kerinduan mereka bukan sahaja terubat. Malah konsert berkenaan mengembalikan kenangan buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu Ruffedge.

Perkara itu diakui salah seorang peminat yang hadir ke konsert berkenaan.

“Saya merupakan peminat tegar yang mengikuti perjalanan Ruffedge sejak mereka mula-mula muncul dalam industri muzik di Malaysia.

“Setiap lagu yang mereka persembahkan menggamit kenangan lama, sejak tahun 2000 hingga sekarang,” kongsi peminat tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN