RM2.55 dari RM10 dalam poket Sanusi dari rakyat Selangor - Amirudin - Utusan Malaysia

RM2.55 dari RM10 dalam poket Sanusi dari rakyat Selangor – Amirudin

AMIRUDIN Shari yang juga Naib Presiden PKR menyampaikan ucapan dalam Program Grand Finale Arus Merah Kuning sempena Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Selangor di Padang MPAJ AU2 malam ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Pengundi diseru mempertahan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang menyumbang peratusan paling tinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam sejarah negeri itu pada tahun lepas.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK pada 2022.

“Makna apa? Dalam setiap RM10 dalam poket rakyat Malaysia termasuk RM10 dalam poket Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor), RM2.55 sen datang daripada kegiatan ekonomi hasil kerja rakyat Selangor.

“Sebab tu bila mereka kata nak Selangor baharu, nak jadi mcm mana? Nak jadi macam Kedah? Kedah cuma ada RM0.40 sen dari RM10,” katanya dalam Ceramah Grand Finale Arus Merah Kuning di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Keramat di sini, malam ini.

Justeru, Amirudin mengharapkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan besar di negeri ini.

Katanya, ini kerana bukan sahaja mahu memastikan pembangunan berterusan tetapi memastikan kestabilan negara yang haru-biru disebabkan oleh pengkhianat yang gila kuasa pada 2020.

“Rakyat dah letih nak bertukar kerajaan, sekarang di bawah Kerajaan Perpaduan kita ada 148 Ahli Parlimen, ini kali pertama kita ada dua per tiga majoriti.

“Mari kita dengar apa dikatakan oleh pimpinan Perikatan Nasional (PN). Ketika kempen, bukan galak nak bagitahu rakyat perlu dijaga, anak-anak dipelihara (tapi) yang dia galak yang rakus yang selalu sebut ‘kita nak menang Selangor sebab nak jatuhkan Kerajaan Persekutuan’.

“(Jadi) 12 Ogos kuasa di tangan kita, nak pastikan negara negeri stabil, jangan benar lagi pengkhianat dapat undi.

“Orang nak menang negeri nak jaga rakyat. Nak menang nak bagi peluang pekerjaan… nak majukan negeri. Dia menang negeri, nak jatuhkan kerajaan…mereka ni memang pengkhianat, perosak..kita tolak dia,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN