Remaja 17 tahun didakwa bunuh abang

Remaja 17 tahun didakwa bunuh abang

LOKASI kejadian bunuh melibatkan seorang lelaki yang dipercayai dilakukan oleh adiknya dalam kejadian di Taman Seri Mahkota, Kulim, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh abang kandungnya di rumah mereka di Taman Mahkota, di sini minggu lalu.

Tertuduh hanya mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret B. Sri Pracha Nanthini.

Remaja terbabit didakwa membunuh abangnya yang berusia 21 tahun dengan menikam tepat pada jantung mangsa di Lorong Mahkota 9/2, Taman Mahkota, di sini pada pukul 10.10 pagi, 7 Ogos lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa polis, Inspektor Muhammad Shafiq Shafie manakala tertuduh diwakili K. Kiren Ram daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan 26 September ini untuk tarikh sebutan semula, sementara menunggu laporan bedah siasat dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh kerana ia merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Sementara itu di mahkamah sama, abang sulung mangsa berusia 26 tahun didenda RM1,500 selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan membuat laporan polis palsu berhubung kematian adiknya.

Sri Pracha Nanthini menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku membuat laporan palsu di Balai Polis Kulim, pada pukul 12.31 tengah hari, 7 Ogos lalu bahawa adiknya mati akibat terjatuh di kandang kambing.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kiren Ram yang turut mewakili lelaki tersebut merayu untuk diringankan hukuman kerana tertuduh hanya berpendapatan kira-kira RM1,500 sebulan dan mempunyai tujuh ahli keluarga untuk ditanggung. Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.

Pada 8 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan tindakan dua beradik memalsukan kematian seorang saudara kandung mereka akhirnya terbongkar apabila kematian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dalam kejadian di Taman Mahkota, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN