SUNGAI PETANI: Calon Pakatan Harapan (PH), Bau Wong Bau Ek menang dengan majoriti 954 undi pada pilihan raya negeri (PRN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam.
Bau Wong mendapat 21,859 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Juliana Abdul Ghani mendapat 20,905 undi.
PH turut menang di DUN Bakar Arang apabila calonnya, Adam Loh Wei Chai mengatasi calon PN, Raymond Tai Kuang Tee dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Tan Kee Chye.
Adam Loh menang dengan majoriti 3,683 undi setelah mendapat 21,889 undi, Raymond Tai (18,206) sementara Kee Chye hilang deposit apabila hanya mendapat 138 undi sahaja.
Dalam pada itu, PN menang salah satu daripada kerusi DUN yang terdapat dalam Parlimen Sungai Petani itu apabila menang besar di Pantai Merdeka.
Calon PN, Sharir Long yang merupakan Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Petani mendapat 32,225 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Wan Mohalina Wan Mohamad yang hanya mendapat 8,534 undi.
Sharir yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya mendapat majoriti 23,691 undi. –UTUSAN