PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menjelaskan, pemeriksaan bagasi dilakukan pihaknya di bahagian pelepasan penumpang hanya terhad kepada ‘hand carry baggage’.
Penjelasan itu dibuat sebagai memberi reaksi kepada rampasan sebanyak 47 ekor ular sawa dan dua biawak yang ditemui dalam bagasi berstatus ‘check-in baggage’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirapally, India menerusi penerbangan Batik Air dari Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu.
JKDM dalam satu kenyataan berkata, bagasi berstatus ‘check-in baggage’ perlu didaftarkan di kaunter sebelum penumpang melalui kawasan pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia dan JKDM di pintu pelepasan.
“Apabila penumpang melalui kawasan pemeriksaan JKDM, hanya bagasi diikrar sebagai ‘hand carry baggage’ sahaja akan diperiksa menggunakan mesin pengimbas.
“Dalam kes itu, penumpang tersebut mendaftarkan bagasi ‘check-in baggage’ sebelum melalui kawasan pemeriksaan kastam.
“Pemeriksaan kastam di bahagian pelepasan penumpang terhad kepada ‘hand carry baggage’ sahaja,” katanya di sini hari ini.
Susulan itu, jelasnya, JKDM tidak dapat memberi maklum balas bagi bagasi yang dibawa oleh penumpang yang berstatus ‘check-in baggage’.
“Bagaimanapun, JKDM sentiasa komited bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam mengawasi pintu masuk negara demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan Malaysia,” tegasnya. – UTUSAN