Radhi kembalikan kerusi Alor Mengkudu kepada Pas

Radhi kembalikan kerusi Alor Mengkudu kepada Pas

Muhammad Radhi Mat Din menewaskan Mahfuz Omar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu dalam pilihan raya negeri Kedah kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Muhammad Radhi Mat Din yang menewaskan Datuk Mahfuz Omar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu ‘menghadiahkan’ semula kerusi itu kepada Pas yang ditawan beberapa penggal oleh Pakatan Harapan (PH).

Legenda bola sepak Kedah dan digelar giant killer itu berkata, kemenangan berkenaan bukan bersifat peribadi tetapi disumbangkan gelombang Perikatan Nasional (PN) termasuk kesedaran dalam kalangan anak-anak muda di kawasan tersebut.

Menurut beliau, kemena­ngan itu juga satu hadiah daripadanya untuk PN khususnya Pas setelah berjaya mengembalikan kerusi DUN yang juga kubu Pas kepada parti.

“Ini adalah satu proses yang agak lama (merampas Alor Mengkudu) selepas dimiliki Pas kemudian jatuh ke PH dan kini kembali kepada Pas.

“Saya yakin (kemenangan) ini berlaku selepas gelombang besar PRU dahulu dan selepas pengundi muda di Alor Mengkudu mengetahui corak ke­pimpinan yang ada pada kerajaan Perpaduan. Ini perubahan besar daripada pilihan raya lalu dan berlanjutan sehingga ke hari ini.

“Faktor gelombang adalah satu perkara tetapi yang pen­ting adalah kesedaran anak muda dan pengundi di Alor Mengkudu itu sendiri,” kata­nya ketika ditemui, semalam.

Bekas kapten bola sepak Kedah berusia 58 tahun itu menewaskan Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah dengan majoriti 10,104 undi.

Muhammad Radhi memperoleh 18,936 undi manakala Mahfuz mendapat 8,832 undi bagi kerusi yang disandang PH.

Kedua-dua mereka pernah bertembung di kerusi Parlimen Pokok Sena pada PRU14 yang menyaksikan kemenangan di pihak Mahfuz.

Ditanya misi beliau untuk Alor Mengkudu selepas ini, kata Muhammad Radhi, beliau akan berusaha untuk mening­katkan ekonomi dan mem­bela kebajikan penduduk di kawasan itu terutama dalam kalangan pesawah.

“Alor Mengkudu ini adalah kawasan pertanian dan kita sudah mengenal pasti beberapa masalah yang kita akan selesaikan nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN