BALIK PULAU: Usia bukan penghalang untuk seseorang wakil rakyat yang dipilih berkhidmat dengan baik dan cemerlang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Itu pendapat calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Telok Bahang, Kolonel (B) Muhamad Kasim, 62, daripada parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Dalam saingan merebut kerusi DUN Telok Bahang, Muhamad akan bersaing dengan calon muda gabungan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) iaitu Ahmad Zaki Shah Shah Headan, 34, daripada UMNO.
Menurut Muhamad, apa yang membezakan beliau dan calon muda BN-PH ialah pengalaman hidup dan beliau memahami masalah rakyat yang kini bergelut dengan pelbagai isu.

“Beza umur tidak menjadi halangan untuk berkhidmat, tetapi kalau kata saya banyak pengalaman nanti orang kata masuk bakul angkat sendiri.
”Kalau saya diberi peluang oleh pengundi sebagai wakil rakyat di DUN Telok Bahang, saya akan gunakan peluang yang ada untuk membantu rakyat,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhamad, beliau telah merasai pahit getir dalam hidup dan memahami apa yang rakyat alami pada masa ini yang mana majoriti rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
”Oleh itu, objektif saya adalah untuk memberi keselesaan dan peningkatan ekonomi menerusi sektor industri kecil dan sederhana (IKS) kepada penduduk di DUN Telok Bahang.
”Pada masa ini, penduduk berdepan dengan kenaikan kos barangan dan mereka perlu meningkatkan pendapatan menerusi pelbagai cara dan perniagaan IKS adalah salah satu cara yang sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Muhamad, beliau juga menggunakan pendekatan bertemu penduduk setempat secara bersemuka dan turut menggunakan media sosial untuk berkempen.
”Setakat ini, kira-kira 50 peratus pengundi telah saya jumpa dan perkenalkan diri sebagai calon PN, saya nampak mereka mahu memberi sokongan kepada PN kali ini.
”Untuk pengundi muda pula, saya gunakan media sosial supaya mereka kenal dan faham apa misi dan visi yang mahu saya bawa di DUN Telok Bahang,” katanya. – UTUSAN










