PENGUNDI di enam negeri patut bertanya kepada diri sendiri, apa telah mereka dapat hasil keputusan diumumkan 12 Ogos lalu?
Puas hati kerana parti yang tidak diundi kalah? Dapat ‘pahala’? Sedangkan yang jaga soal dosa pahala, dunia akhirat, syurga neraka adalah diri sendiri dan keluarga. Solat atau tidak, hanya diri dan Dia Maha Mengetahui.
Tidak dapat kemudahan atau prasarana yang diimpikan bertahun-tahun tidak kisah. Ibu ayah anak cucu tanggung derita, pedulikanlah. Bukan kita tinggal bersama mereka. Asalkan sahaja parti diundi itu menang, cukuplah.
Tanya lagi, hasil keputusan pilihan raya negeri (PRN) Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berubahkah? 6-0 atau 5-1? Bukan, ia status quo 3-3. Tiada perubahan. Namun pembaziran wang rakyat sudah berlaku, RM420 juta dibelanjakan hanya untuk kerja sehari pengundian. Padahal, jika disekalikan 19 November 2022 untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ratusan juta ringgit itu boleh dibuat dibikin apa? Bina banyak sekolah, perumahan atau jambatan-jambatan usang di banyak negeri, pilih sahaja.
Yang pasti, kerana banyak negeri tidak selaraskan PRN masing-masing, demam politik akan berterusan melanda Malaysia. Lepas ini, pasti kita asyik berpolitik memanjang. Kestabilan ekonomi akan tergugat lagi. Pelabur jadi tidak tenteram, lama kelamaan cabut lari.
Mengikuti hujah-hujah dilontarkan oleh penganalisis hasil enam PRN baru-baru ini, kolum ini memetik hujahan berbisa daripada pemerhati bebas, Che Ibrahim Che Idris yang elok dijadikan iktibar dan pedoman buat kita semua berfikir:
“Berhentilah politik. Fikir tiap kali PRU dan PRN, Melayu makin tewas. Tiada dua hala tentangnya. Belakang kutuk tikam habisan. Tewas di depan mahu senyum berkawan.
“Tumpulah pada ekonomi sebab Melayu makin teruk. Politik telah merosakkan ekonomi dan peluang Melayu, terutama gelap masa depan anak muda. Buat apa sorak kampung tergadai. PRN hakikat bazir masa dan bakar wang itu saja hasilnya.
“BN tak menang di Selangor. Hampir tewas semuanya. Tapi penyokong BN lah yang sekat PN dari kuasai kerajaan terkaya di Malaysia. Pas cemerlang di Terengganu, tak akan ubah apa-apa. DAP tetap pegang Penang. PKR terus bertapak di Selangor. BN berjaya kembali jadi kerajaan di Negeri Sembilan.
“Sampai bila nak guna cara sama, 20-30 tahun lagi pun tak menang. Hebat parti Bersatu sudah dua penggal. Jauh dari bertapak di mana satu negeri pun. PKR ada Selangor, DAP ada Penang, UMNO lima negeri. Sabah Sarawak tak akan sokong PN. Pas negeri Melayu mundur. Yang menang hanya jadi taksub politik. Tak akan ada peluang politik baharu. Tunggu lima tahun lagi.”
“Fokuslah kepada ekonomi. Berhenti terus rosakkan kuasa Melayu dan ekonomi. Federal (Pusat) dipegang oleh (kerajaan) Perpaduan. Negeri-negeri mundur penduduk terbesar Melayu, fikir bagaimana nak membangun. Bagaimana nak tarik pelaburan. Bagaimana nak tambah pendapatan.
“Melayu miskin nak fikir bagaimana boleh tambah RM1-10 sehari. Yang sederhana nak tambah puluhan ringgit sehari. Yang senang pun sama, tambah ratusan dan jutawan ribuan sehari. Ini baru tambah pekerjaan, peluang tambah pendapatan. Keseluruhan naik ekonomi Melayu.
“Perlu ingat, politik hanya perlawanan satu hari dalam lima tahun. Lain itu cakap-cakap membakar masa saja dan sia-sia peluang lain. Juga bina minda mabuk politik. Teruja seronok, tapi tak dapat apa. Kosong saja.
“Perlu ingat ekonomi bersaing dan berlawan tiap hari. Malah tiap jam, minit dan saat. Umpama ada yang saluran pendapatan masuk tiap saat seperti setitik air jatuh dalam baldi tiap saat, kira setahun berapa banyak.
“Jika 1 sen x 60 saat x 60 minit x 24 jam x 365 hari, jumlah RM315,360 setahun. Ini belum masuk naik nilai tanah, bangunan dan aset pelaburan. Kalau 1 sen tiap saat maka jumlah jadi x2 = RM630,420 setahun. Mengembang tiap tahun, jadi juta ke belas juta dan puluh jutaan.
Inilah beza ekonomi keusahawanan, modal dan pelaburan. Banding dengan ekonomi buruh, pekerja, swasta termasuk kakitangan kerajaan.
“Suatu masa kelak golongan usahawan, modal dan pelaburan, 20% akan kuasai 80% ekonomi negara. T20 pula 80% bukan Melayu dan yang bawah terbalik pula 80% Melayu.
Tak usah angan-angan kuasa kerajaan terbesar. Terkuat dalam dunia Amerika pun tunduk kepada kuasa ekonomi. Semua kerajaan di dunia tunduk kepada kehendak kuasa mereka. Kini pun tanpa kemasukan pelaburan, ekonomi Malaysia tumbang. Cakap-cakap pelaburan masuk berbilion-bilion, cuba tanya apa perlu tunduk pada kemahuan mereka?
“Berhentilah berpolitik bawah tempurung. Seronok katak lawan katak melompat saja. Celik buka mata seluas, fikir angin, ribut, ombak dan gelombang ekonomi nasional dan global. Bolehkah Melayu dengan perahu belayar sambil bergaduh dan bertengkar politik tak habis-habis. Dayung pun tak tahu di mana. Apa lagi peta dan kompasnya.
“Saya tidak bercakap kosong tetapi saya memberitahu orang Melayu berdasarkan pengalaman. Realiti ghaib di luar sana, 80% orang Melayu tidak faham atau nampak. Pemikiran mereka didorong oleh ketakutan dalam politik, bangsa dan agama.
“Fikir strategi:
Tiga parti akan tetap kekal relevan dalam politik Semenanjung iaitu:
* UMNO – Melayu
moderate (sederhana)
* Pas – ultra Islam
* DAP – ultra Cina
“Ini sejarah parti mampu berdikari. Lain hanya tengek dan tidak boleh bertapak. PKR pun tanpa DAP tidak ke mana.
“Parti Bersatu ultra Melayu tidak boleh bertapak. Parti-parti lain hanya parti peranan taruhan sahaja. Parti ultra boleh di empat negeri Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Terengganu sahaja.
“Di negeri-negeri lain tidak akan menang memerintah. Jika selari dengan Pusat, ada pembangunan.
ULTRA MELAYU ATAU CINA
“Strategi bagi saya ialah, ultra Melayu atau Cina hanya sebahagian sahaja. Majoriti ramai adalah moderate, terima dan mahu realiti. Parti Pas atau DAP tidak boleh ubah dari luar. Maka strategi orang Cina MCA pergi DAP bagus. Strategi orang UMNO setengah masuk Pas bagus. Dalam strategi lihat yang positif dari keadaan dan apa berlaku. Dengan begini akan jadi parti-parti ini lebih berubah ikut masa kepada moderate.
Hanya moderate boleh bersatu
dan kerjasama
“Cabaran ialah DAP dan Pas sedar ini semua. Perlu moderate tarik anak-anak muda profesional. Pokoknya mana-mana parti ada old guards, tidak mahu berganjak dengar suara muda. Kenapa mereka tak mahu ikut politik? Sebab bagi mereka politik telah jatuhkan kuasa dan ekonomi Melayu. Peluang dan kos naik, jadi nak undi sokong siapa, mereka yang bertelagah dan musnahkan harapan mereka?
“Dalam Pas dulu sedar tarik kumpulan ini, digalakkan sertai pengurusan. Orang-orang yang akademik tinggi dan berjaya masuk. Tapi puak agama rasa tercabar. Mereka ini ditewaskan dalam pemilihan. Itu terkeluar tubuh Amanah (Parti Amanah Negara).
“Melayu buanglah politik guna ras, agama dan menakut-nakut. Perlu jiwa besar dan berani. Lihat DAP, mereka berani dan mereka buat;
* Tarik Anwar/PKR
(musuh)
* Tarik Tuan Guru Nik
Aziz, Tuan Guru Hadi
Awang/Pas (musuh)
* Tarik Tun Mahathir/Tan
Sri Muhyiddin Yassin/
Parti Bersatu
* Tarik Datuk Seri Zahid
Hamidi/UMNO/BN
* Tarik Sarawak.
“Semua ini musuh ketat peribadi, ideologi, agama dan parti. Kalau minda Melayu menakut-nakut terus tolak. DAP paling pantas berubah dalaman, relevan. Ini sebab mereka kekal kukuh di kubu-kubu mereka.
“Fikirkan politik seperti perniagaan…berani, berani dan berani. Bukan menakut-nakut taktik lama,
“Helah lama tidak menarik kepada orang muda. Mereka mahu hasil ekonomi, bukan hanya kemenangan politik.
“Berhenti melakukan perkara yang sama dengan cara yang sama. Tiada peta jalan untuk menang. Tiada gunanya bertarung dengan kekalahan.” – Mingguan Malaysia










