PRN: 'Saya sudah cuba pujuk Ramasamy' - Kon Yeow - Utusan Malaysia

PRN: ‘Saya sudah cuba pujuk Ramasamy’ – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow bersama calon DUN Permatang Berangan daripada BN, Nor Hafizah Othman (kiri) pada program bersama penduduk di Permatang Berangan, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau sudah cuba memujuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Dr. P. Ramasamy supaya tidak meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, menurut Kon Yeow yang juga Ketua Menteri, Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri tetap dengan keputusan beliau yang akhirnya dimuktamadkan menerusi surat keluar parti yang dihantarnya pagi ini.

“(Saya) Pernah pujuk dia sebelum dia buat keputusan (beberapa hari sebelum surat keluar parti dihantar), itu satu proses pemikiran (Ramasamy) (yang) ambil masa beberapa hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui ketika turun padang berkempen bersama calon gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman berkempen di sekitar kawasan itu.

Menurut Kon Yeow, Ramasamy sebelum ini memaklumkan tidak berpuas hati dengan proses dan urusan pemilihan calon DAP yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, meskipun boleh menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan Calon tersebut.

“Itulah yang menyebabkan dia ambil keputusan walaupun saya cuba memujuk beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengakui tindakan Ramasamy yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri II keluar parti tersebut sedikit sebanyak akan menjejaskan sokongan kepada DAP pada hari pengundian PRN, Sabtu ini.

“Memandangkan Prof. (Ramasamy) telah berkhidmat selama tiga penggal iaitu 15 tahun di kawasan Perai, memang ada penyokong, pengikut beliau.

“Sama ada pengikut dan penyokong akan membuat undian protes itu adalah budi bicara dan pilihan individu itu sendiri dan sedikit sebanyak akan beri kesan pada PRN nanti,” katanya.

Terdahulu, Ramasamy mengesahkan keluar daripada parti DAP berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Ramasamy berkata, beliau sudah menghantar surat keluar parti itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pukul 8.24 pagi ini serta kepada Kon Yeow seminit kemudian.

Pada PRN Pulau Pinang kali ini, Ramasamy merupakan antara lima Exco kerajaan negeri yang digugurkan daripada senarai calon DAP daripada mempertahan kerusi DUN Perai yang dimenanginya sejak 2008. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya