Polis Pulau Pinang terima 8 laporan berkait kesalahan PRN

Polis Pulau Pinang terima 8 laporan berkait kesalahan PRN

W. PUSPHANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menerima sebanyak lapan laporan berkaitan salah laku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang direkodkan setakat semalam.

Jurucakap Media PRN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, W. Pusphanathan berkata, antara kesalahan yang direkodkan ialah enam kes kesalahan merosakkan bendera dan sepanduk parti dan satu kes berkaitan memfitnah calon Bebas.

Ujar beliau, satu kes membabitkan isu 3R (agama, raja, bangsa) turut diterima pada 31 Julai lalu berkait artikel yang dimuat naik sebuah portal bertajuk: ‘Muhyiddin Says Allah Issue Shows Govt Run By Non Malay’.

”Pengadu berasakan kenyataan tersebut telah menyentuh 3R dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bekas Perdana Menteri dan kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, lapan kertas siasatan juga telah dibuka, namun setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat.

”Kertas siasatan yang dibuka meliputi kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat); Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam).

”Selain itu, ia turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan (fitnah),” katanya.

Tambahnya, bagi tempoh 29 Julai sehingga semalam, sebanyak 518 permit ceramah telah diluluskan dan tiada permohonan permit ditolak.

Dalam pada itu, jelas beliau, bagi Kontinjen Pulau Pinang, seramai 6,451 pegawai kanan dan pegawai rendah polis akan mengundi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK dan IPD, 8 Ogos ini.

”Seramai 195 pegawai kanan serta pegawai rendah polis adalah pengundi pos dan seramai 217 pegawai polis ditugaskan bagi melancarkan proses pengundian awal,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan beberapa calon Perikatan Nasional (PN) yang diekori pihak polis ketika berkempen, beliau berkata, polis tidak menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan isu tersebut.

”Kita ada 50 pasukan cantas yang bertugas di lapangan dan kita juga ada 40 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya terdiri daripada polis, wakil parti, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

”Kesemua pasukan ini sentiasa berada di lapangan bagi memastikan keselamatan semua pihak termasuk calon yang bertanding,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN