PRN: PH-BN bentuk kerajaan, PN tunjuk prestasi

PRN: PH-BN bentuk kerajaan, PN tunjuk prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAKIKAT kemenangan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) adalah tidak seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila PH khususnya dinafikan kemampuan untuk peroleh majoriti dua pertiga oleh Perikatan Nasional (PN).

Malah, jika dibandingkan dengan PRU15 peringkat Parlimen negeri ini pada November tahun lalu, perolehan undi mereka menunjukkan kemerosotan ketara termasuklah Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di Sungai Tua.

Jika diteliti keputusan PRU15 dan PRN di DUN N.16 Sungai Tua, Amirudin pada 2022 mendapat 19,002 undi, namun Sabtu lalu sokongannya cuma meningkat sekitar 600 undi berbanding calon PN, Hanif Jamaluddin kira-kira 2,200 undi.

AMIRUDIN SHARI

Begitu juga di kawasan yang ditandingi Setiausaha Politiknya, Juwairiya Zulkilfi di Hulu Kelang apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerima peningkatan undi kira-kira 4,700. Sebaliknya, Juwairiya sekadar meraih peningkatan sekitar 1,000 undi.

Selain itu, situasi sama juga dikesan pada kerusi dimenangi komponen PH, DAP yang memenangi kesemua 16 kawasan ditandinginya, walaupun parti itu menjadi tulang belakang kepada keupayaan gabungan itu untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Di kerusi-kerusi dimenangi DAP, walaupun calon-calon parti itu peroleh undi sekurang-kurangnya 10,000 (Sekinchan, Ng Suee Lim, 10,232) dan tertinggi adalah 71,290 diperolehi Ng Sze Han di Kinrara, prestasi mereka sebenarnya kurang memberangsangkan.

Meskipun mereka memegang kesemua kerusi dengan majoriti mega hampir di keseluruhan kawasan ditandingi, graf sembilan DUN yang dimenangi menunjukkan penurunan sokongan berbanding PRU15 iaitu sekitar 300 hingga 3,500 undi.

Malah, parti itu perlu berjaga-jaga apabila mereka kehilangan antara 1,000 hingga 10,700 undi di semua kawasan disumbang oleh faktor tidak keluar mengundi atau menyokong calon lain.

Hanya tujuh kerusi menunjukkan peningkatan prestasi iaitu Sekinchan, Kuala Kubu Bharu, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Kota Kemuning, Banting dan Sungai Pelek.

Bagi kerusi dimenangi BN di N.01 Sungai Air Tawar dan N.23 Dusun Tua, bantuan penyokong PH berjaya memastikan peningkatan undi diterima Datuk Rizam Ismail dan Datuk Johan Abd. Aziz iaitu sekitar 2,400 dan 13,600.

Namun, sokongan daripada penyokong PH terhadap parti itu menunjukkan sebaliknya apabila BN tewas di 10 kerusi seperti di Sungai Panjang, Jeram, Batang Kali, Sungai Burong, Kuang, Semenyih, Gombak Setia, Selat Klang, Sijangkang dan Dengkil.

Sebaliknya, parti lawan, PN yang bertanding di kesemua 56 kawasan menunjukkan peningkatan sokongan ketara termasuk di kerusi-kerusi dimenangi DAP. Malah gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan itu juga menyebabkan UMNO kehilangan lebih separuh pengundi putih mereka.

Sebagai contoh di Selangor Utara, PN menyapu bersih lima DUN dalam dua Parlimen iaitu Sungai Burong dan Permatang di Tanjong Karang serta Bukit Malawati, Ijok dan Jeram di Kuala Selangor.

Berdasarkan keputusan di kawasan yang pernah menjadi kubu kuat UMNO itu, kurang 500 pengundi BN pada PRU15 tidak keluar mengundi bagi DUN Sungai Burong dan Permatang.

Di Kuala Selangor pula, BN kehilangan sekurang-kurangnya 65 hingga 71 peratus pengundi yang beralih menyokong PN sekitar 5,600 hingga 7,700 orang.

Justeru, situasi tersebut menunjukkan petanda yang tidak baik bagi PH-BN jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam waktu terdekat kerana PN berpotensi sekurang-kurangnya meningkatkan pengaruh mereka di kawasan berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN