Momentum sokongan kepada PH-BN di Pulau Pinang meningkat

Momentum sokongan kepada PH-BN di Pulau Pinang meningkat 70 peratus

CHOW Kon Yeow ketika berkempen bertemu pengundi di sekitar Medan Selera Sri Weld, di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Momentum sokongan rakyat di negeri ini kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) -Barisan Nasional (BN) didapati meningkat sehingga 70 peratus menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, momentum sokongan rakyat itu dijangka mencapai kemuncak seiring dengan tempoh kempen yang berbaki tiga hari lagi.

”Momentum meningkat, khususnya minggu kedua ini sambutan memang ada.

”Peratusan momentum sokongan rakyat adalah sekitar 70 peratus, kita harap dalam tiga hari yang ada (kempen) momentum akan capai ke kemuncak,” katanya selepas mengadakan ‘walkabout’ di sekitar medan selera Sri Weld, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga calon PH kerusi DUN Padang Kota berkata, beliau berharap pimpinan BN negeri juga dapat menyakinkan ahli dan penyokong mereka untuk mengundi calon-calon PH di kerusi yang tidak ditandingi BN.

“Di peringkat pimpinan kita memang sudah buat ketetapan untuk menyokong masing-masing (BN) di bawah naungan perpaduan.

”Jadi kita harap BN pun dapat menyakinkan ahli dan penyokong mereka untuk sokong mereka sendiri dan PH dalam kawasan di mana mereka (BN) tidak tanding,” katanya.

Tambah Kon Yeow, beliau juga tidak berdepan kesukaran semasa menjalankan kempen kerana setelah lapan bulan kerjasama Kerajaan Perpaduan berlaku, kesemua pengundi telah mengetahui mengenai kerjasama politik baharu yang terjalin antara PH-BN.

Dalam pada itu, katanya, pandangan bahawa orang muda akan mengundi Perikatan Nasional (PN) berbanding PH juga hanya satu pandangan umum semata-mata.

”Pengundi kita terdiri daripada pelbagai peringkat umur, dan penyokong kita juga ada pelbagai peringkat umur.

”Ia adalah satu pandangan umum sahaja bahawa orang muda akan memihak kepada PN kerana terpengaruh dengan media sosial seperti TikTok dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN