PH hanya ada Aminuddin, BN ada ramai calon MB

PH hanya ada Aminuddin, BN ada ramai calon MB

ASYRAF Wajdi Dusuki bersama calon Barisan Nasional (BN) DUN Juasseh Datuk Ismail Lasim beramah mesra bersama pengundi ketika hadir pada Moh Minum Pagi dan seterusnya mengadakan ziarah kasih rumah ke rumah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Kampung Sungai Jelutong, semalam. – UMNO Online
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dakwaan konon­nya Barisan Nasional (BN) ke­tandusan calon Menteri Besar Negeri Sembilan adalah tidak berasas, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak mempunyai calon.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PH hanya mempunyai Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai sandaran bagi jawatan Menteri Besar.

Malah katanya, kedudukan Aminuddin sendiri goyang ke­rana didakwa sedang berhadapan dengan risiko kalah di kawasan yang ditandinginya.

“Saya rasa ia terbalik. Saya rasa PH yang kekurangan calon Menteri Besar berbanding BN.

“Saya rasa sekarang PH ke­cuali Tok Min yang sedang berhadapan dengan risiko di kawasan yang dia tak sangka.

“Dia lari dari Sikamat yang rata-rata rakyat di Sikamat marah dengan prestasi beliau dan beliau mencari kawasan yang dianggap selamat iaitu Linggi.

“Tetapi hakikatnya apabila beliau melihat berlaku kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN), beliau mula cuak,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis Ramah Mesra bersama calon Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Juasseh di Kampung Sungai Jelutong, semalam.

Menurut Asyraf Wajdi, PH juga tidak mempunyai pilihan selain mengangkat calon daripada DAP sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Hakikatnya PH atau jika apa-apa berlaku kepada Tok Min, mereka tiada pilihan kecuali Menteri Besar daripada calon DAP akan diangkat,” katanya., Semalam, Aminuddin dilaporkan menempelak BN-PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana tidak mempunyai sandaran calon Menteri Besar sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN