KOTA KINABALU: Keputusan pilihan raya di enam negeri akan membawa kesinambungan kepada keutuhan kerajaan perpaduan yang menjadi teras kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
Justeru, golongan belia harus mengambil peluang yang ada untuk mengundi calon yang membolehkan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayakan di negeri yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, tempoh kempen selama dua minggu ini diharap dapat membina asas untuk pengundi dalam kalangan belia memilih calon yang berkelayakan.
“Saya ingin menyeru kepada semua golongan belia yang telah berdaftar sebagai pengundi agar keluar mengundi bagi PRN enam negeri yang akan berlangsung esok.
“Golongan belia harus terlibat dalam proses demokrasi bagi menubuhkan kerajaan negeri masing-masing melalui PRN,” katanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, PRN bukanlah satu proses menguji atau mencuba tetapi, ia harus menjadi kesinambungan kepada keutuhan kerajaan yang memerintah hari ini.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata, kerajaan negeri yang selari dan mempunyai wawasan yang sama dengan kerajaan Persekutuan mampu menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan secara bersama.
PRN adalah proses untuk memilih kepimpinan yang lebih berwibawa, mempunyai hala tuju dan inisatif yang jelas bagi membina masa depan negara yang lebih unggul.
Jelas beliau, sepanjang proses demokrasi ini, beliau berharap golongan belia tidak terpengaruh dengan provokasi perkauman dan agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan negara.
Demokrasi sentiasa boleh didukung tanpa perlu provokasi seperti ini dan belia harus memainkan peranan besar untuk mempertahankan semangat demokrasi di negara ini. –UTUSAN
Ends.










