KUALA LUMPUR : Polis Kuala Lumpur menggerakkan 684 anggota serta tiga pegawai ke Terengganu sebagai bantuan sumber manusia bagi penugasan pilihan raya negeri (PRN) di negeri berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, bantuan sumber manusia itu digerakkan di empat daerah di Terengganu iaitu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, IPD Setiu, IPD Kuala Terengganu dan IPD Kuala Terengganu.
“Bagi penugasan hari mengundi pada 12 Ogos ini, pecahan penugasan sudah disusun bermula dari tugas mengiring peti undi ke pusat mengundi, membuat kawalan keselamatan di pintu masuk setiap pusat mengundi dan mengawal saluran.
“Pada masa sama, penugasan yang dilaksanakan termasuk menguatkuasakan Seksyen 3 dan Seksyen 26 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, mengawal lalul lintas dan mendirikan Sekatan Jalanraya (SJR),” katanya.
Azry Akmar berkata, sebagai petugas pilihan raya, pegawai dan anggota polis perlu mengetahui tindakan yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa menjalankan tugas.
“Pastikan tidak ada dalam kalangan petugas dengan sengaja meninggalkan tempat tugas, tidur ketika bertugas, menggunakan telefon semasa bertugas, merokok dan sebagainya.
“Semua petugas diharap faham tugas dan tanggungjawab masing-masing serta memainkan peranan sejak mula pusat pembuangan undi dibuka hingga ditutup,” katanya.
Beliau berharap semua petugas mengekalkan imej dan nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta menitikberatkan keterampilan diri dan kekemasan pakaian pada setiap masa kerana masyarakat akan sentiasa menilai.
“Saya ingatkan kembali kepada semua petugas akan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sempena undi awal PRN Ke-15 iaitu laksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi dan berhemah.
“Kekalkan tahap profesionalisme tinggi, kawal emosi ketika berdepan sebarang bentuk provokasi dan tanamkan niat serta tekad tinggi untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh integriti, ikhlas dan sabar.
“Pamerkan tahap profesionalism yang tinggi dan mampu mengawal diri walau berada di dalam situasi tertekan atau genting,” katanya. – UTUSAN