PN, Pas mampu tadbir Pulau Pinang pada masa depan - Utusan Malaysia

PN, Pas mampu tadbir Pulau Pinang pada masa depan

MOHD. YUSNI Mat Piah (kiri) bersama penyokongnya menunjukkan isyarat bagus selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Penaga pada PRN semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Kejayaan Pas ‘merampas’ enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang selain mengekalkan satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam dianggap sebagai momentum kebangkitan yang ditunggu-tunggu selama ini.

Pesuruhjaya Pas III Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, selain Pas, keupayaan rakan sekutu mereka dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu meraih empat lagi kerusi DUN membuktikan gabungan parti itu begitu bersungguh-sungguh untuk ‘menawan’ negeri itu.

Mohd. Yusni berkata, gelombang PN di Pulau Pinang ketika ini cukup kuat walaupun boleh dianggap sebagai satu gabungan parti yang masih baharu.

Justeru, kata beliau, tidak mustahil Pas dan PN mampu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada DAP dengan usaha keras secara berterusan pada masa depan.

“Kalau nak ikutkan, DAP pun beberapa kali ‘depa’ buat Ops Tanjong (sebelum berjaya mentadbir Pulau Pinang). Pilihan raya tahun 1990, 1995, 1998 dan 2004, semua gagal. Tahun 2008 baru berjaya.

“Lima kali ‘depa’ lancarkan operasi (untuk tawan Pulau Pinang). Jadi, kita (PN) pun baharu lagi dan memang kita nampak gelombang (kebangkitan) sekarang memihak kepada PN,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga buat penggal kedua selepas berjaya menewaskan pencabarnya, Mohd. Naim Salleh yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 5,537.

Mengulas kejayaannya mempertahankan kerusi DUN tersebut, kata Mohd. Yusni, beliau gembira kerana tidak lagi menjadi wakil tunggal pembangkang untuk berbahas pada sesi persidangan DUN selepas ini.

“Insya-Allah, kali ini kita (pembangkang DUN) akan kembali balik dengan lebih kuat dan kita akan tengok apa yang kita boleh tawarkan daripada manifesto (PN) sebelum ini (untuk dilaksanakan).

“Walaupun kita tidak mampu untuk mentadbir dan mengambil alih (kerajaan negeri), tetapi kita tetap akan bawa serta cadangkan kepada pihak kerajaan hari ini (termasuk dari segi projek pembangunan dan sebagainya),” katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi calon PN daripada Pas, Bukhori Ghazali yang melakar kejutan dengan ‘merampas’ kerusi DUN Pinang Tunggal daripada PH tidak menyangka akan menang dengan majoriti yang besar iaitu hampir mencecah 7,000 undi.

“Ini satu gelombang yang besar dan saya gembira kerana undi yang tinggi ini bukan sahaja diterima daripada pengundi Melayu, tetapi mereka yang bukan Melayu juga termasuk di Kampung Selamat,” katanya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kepala Batas.

Selain DUN Penaga dan Pinang Tunggal, Pas turut menguasai lima lagi kerusi DUN di Pulau Pinang iaitu Sungai Dua, Permatang Pasir, Sungai Bakap, Permatang Berangan dan Pulau Betong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya