GERIK: Perdana Menteri, mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi kerja naik taraf Jalan Timur Barat yang menghubungkan Gerik di sini dan Jeli di Kelantan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu adalah tambahan bagi kerja-kerja penyelenggaraan yang dianggarkan sebanyak RM80 juta hingga RM100 juta untuk laluan tersebut.
Beliau berkata, kerajaan menerima banyak permohonan peruntukkan jalan raya di seluruh negara.
“Saya akan mengkaji permohonan-permohonan tersebut dalam Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan pada Oktober ni.
“Untuk hari ini saya boleh luluskan tambahan RM30 juta untuk pembaikan jalan (Jalan Timur Barat),” katanya.
Beliau berucap pada pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Jeti Awam Tasik Banding di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah holistik diambil kerajaan dengan memberikan inisiatif peruntukan tambahan kepada peruntukan sedia ada sebanyak RM1.659 bilion yang diterima KRR tahun ini bagi menyelesaikan isu penyelenggaraan jalan Persekutuan.
Beliau berkata, sebanyak RM370 juta peruntukkan tambahan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan di seluruh negara.
“Ia melibatkan RM300 juta bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi, RM20 juta peruntukan khas untuk jurutera daerah, RM50 juta pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan dan RM 250 juta kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kontraktor kecil bumiputra,” katanya.
Mengenai Kempen MyJalan, Anwar menyokong kempen tersebut yang bertujuan mendidik pengguna supaya lebih beradab di jalan raya.
“Saya sokong Kempen MyJalan dan ia harus disebar luas. Saya pernah mengajar di Amerika Syarikat, saya mendapati cara pemandu di sana jauh lebih baik berbanding di negara ini.
“(Di sini) Dia langgar, tak ikut kiri kanan, kadang-kadang perlahan di lorong kanan, adab tak dihormati, kita mempunyai jalan raya baik, kita ada kemudahan tapi tak dimanfaatkan.
“Kita hendakkan jalan terbaik yang tercanggih tapi yang penggunanya tak sampai ke tahap kecanggihan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Anwar turut mengumumkan saguhati sebanyak RM1,000 kepada 87 keluarga bekas pekerja yang terlibat dalam pembinaan Jalan Raya Timur Barat.
“Semasa pembinaan jalan raya ini, negara masih berdepan ancaman komunis yang tak mahu negara ini aman, mereka mahu sistem komunis dilaksanakan.
“Di sini merupakan kubu kuat mereka, dia rasa tercabar lalu mereka melakukan serangan dan ada yang terkorban.
“Adalah menjadi dasar kerajaan Madani tak lupakan kebajikan mereka yang berjasa dan saya luluskan sagu hati setiap keluarga RM1,000,” katanya. – UTUSAN