PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) Selangor akan melaksanakan lima perkara dalam tawaran ‘Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor’ dalam tempoh 100 hari selepas menang pilihan raya negeri (PRN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lima perkara itu antaranya penghargaan wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak dan melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung, rumah kos rendah.
Selain itu, 1,000 mahasiswa Negeri Selangor akan menerima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200, menaikkan elaun Imam, Bilal dan Siak dan 500 petani, pesawah dan nelayan pula akan terima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000.
“Keyakinan kita untuk melaksanakan ini semua bukanlah kerana kita angkuh, akan tetapi kerana kita yakin dengan kebijaksanaan rakyat negeri Selangor.
“Kita sedar bahawa untuk mengangkat Selangor dan rakyatnya ke suatu harakat yang lebih gemilang, perlunya kepada suatu kerajaan yang terbukti cekal menghadapi cabaran, terbukti cekap, terbukti tangkas dan terbukti berwibawa mengemudi Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat dan menawarkan solusi kepada perkara dan cabaran yang bakal dihadapi,” katanya menerusi amanat khas yang disiarkan di Facebook.
Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan untuk mengisytiharkan cuti peristiwa buat seluruh rakyat Negeri Selangor pada 14 Ogos sekiranya gabungan parti perpaduan berjaya memenangi Pilihan Raya pada esok.
Amirudin sehubungan itu mengingatkan pilihan raya esok adalah tarikh penting dalam sejarah Selangor dan rakyat yang bakal menentukan masa hadapan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan pilihan raya negeri ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri Selangor, negeri yang kita cintai ini,” katanya. – UTUSAN