Peserta forum PATA teruja dengan produk pelancongan baharu di Perlis - Utusan Malaysia

Peserta forum PATA teruja dengan produk pelancongan baharu di Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke program ‘Treasure Hunt’ di Kuala Perlis, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Para peserta yang menghadiri forum Jaringan Industri Pelancongan Antara Negeri anjuran Pacific Asia Travel Association (PATA) Malaysia Chapter di sini teruja dengan produk pelancongan baharu yang ditawarkan di negeri ini.

Antaranya Projek Diraja Transformasi Kampung Warna-warni Perkampungan Warisan Nelayan Seberang Ramai Kuala Perlis.

Pengerusi jawatankuasa penganjuran yang juga Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohamed Sallauddin Mat Sah berkata, suasana dan imej kampung ini yang terserlah indah, teratur dan mengujakan telah terbukti menjadi salah satu tarikan pelancongan di Perlis.

Katanya, ia adalah contoh yang terbaik kepimpinan dan iltizam Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama kerajaan negeri khususnya melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Ia juga dibantu pelbagai agensi lain pada ketika negara dilanda Covid-19 untuk melestarikan kehidupan seharian penduduk kampung tersebut serta meyediakan peluang ekonomi bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Forum Jaringan Industri Pelancongan itu berlansung di Kangar pada 25 sehingga 28 Ogos.

Untuk rekod, PATA Malaysia Chapter (PMC) yang ditubuhkan pada 1975 merupakan lanjutan daripada organisasi antarabangsa PATA untuk membantu dalam menterjemahkan objektif global kepada tindakan tempatan di Malaysia dengan menjalankan program dan aktiviti yang berkaitan dengan komuniti setempat selain menyediakan kemudahan kepada ahli.

PMC mempunyai wawasan untuk menjadi peneraju suara Malaysia dalam industri kembara dan pelancongan di Asia Pasifik dan misinya adalah untuk mencipta nilai bagi pihak berkepentingan pelancongan melalui kerjasama sektor swasta dan awam seterusnya untuk menggalakkan pertumbuhan mampan kembara dan pelancongan untuk Malaysia.

Sementara itu, Profesor Anthony Wong merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Asian Overland Services Tours & Travel berkata, pelaksanaan transformasi kampung ini adalah satu produk terbaik yang berasaskan komuniti.

“Saya akan mengusahakan inisiatif merancang untuk mengadakan program secara mingguan selepas ini untuk cuba menarik pelancong antarabangsa terutama dalam mewujudkan pakej pelancongan dari Langkawi untuk turut melawat Kampung Seberang Ramai dalam pakej pelancongan mereka selepas ini,” katanya.

Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Profesional Phuket, Thailand, Adisorn Sumalee @ LucaMalee juga memuji produk baharu ini dan memaklumkan kepada Tuanku Raja Muda bahawa beliau akan membantu mewar-warkannya kepada rakan-rakan pemain industri di Thailand.

Terdahulu kumpulan berkenaan menyertai program ‘Treasure Hunt’ yang dianjurkan sebagai salah satu program sampingan bersempena forum itu dengan kerjasama MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Seramai 60 peserta yang mengambil bahagian juga turut berasa bangga di atas kesudian Tuanku Syed Faizuddin yang berkenan berangkat meluangkan masa beramah mesra dengan mereka dalam program tersebut.

Dalam program berkenaan, kumpulan tersebut berjalan kaki dan singgah di enam buah lokasi seperti ditetapkan iaitu Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya, Laman Rumah Sihat dan Dewan Kampung Semarak.

Mereka juga berpeluang menyelami kehidupan dan budaya di kampung nelayan tersebut dengan melakukan aktiviti-aktiviti menarik seperti mendekorasi laksa, mengarang pantun, merasai makanan seperti garam belacan, senam Tari Canggung dan juga mengagihkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 10 asnaf terpilih dalam kalangan penduduk di situ.

Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan rasa sukacita atas pemilihan penganjur untuk menjadikan Perlis sebagai tuan rumah untuk forum tersebut yang secara tidak langsung akan mempromosi dan memperkenalkan Perlis sebagai destinasi pelancongan yang berdaya saing dan unik.

Kehadiran pelbagai individu dan organisasi yang merupakan pemain-pemain utama industri pelancongan di Malaysia ke Perlis melalui program ini menggambarkan tanda yang positif untuk industri pelancongan negeri ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya