Pergaduhan di Stadium Bandaraya, 7 lelaki ditahan

Pergaduhan di Stadium Bandaraya, 7 lelaki ditahan

LOKASI kejadian pergaduhan antara penyokong Penang FC dan Kedah FC selepas perlawanan Liga Super berdekatan Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis menahan tujuh lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 38 tahun susulan insiden pergaduhan selepas perlawanan bola sepak antara Penang FC dan Kedah FC di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu, polis menerima maklumat berhubung kejadian rusuhan antara penyokong kedua-dua pasukan itu pukul 11.20 malam yang berlaku berdekatan sebuah stesen minyak berhampiran Stadium Bandaraya.

Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium sebaik Sahaja perlawanan antara kedua-dua pasukan berakhir.

“Sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota polis dari ibu pejabat daerah (IPD) Timur Laut tiba di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

“Seramai tujuh lelaki tempatan telah ditahan oleh pasukan D7 Bahagaian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Soffian, polis turut merampas dua biji batu, dua biji kon dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden pergaduhan tersebut.

TANGKAP layar video pergaduhan yang tular di laman sosial antara penyokong Penang FC dan Kedah FC sebaik tamat perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang malam tadi.

Jelasnya, dalam kejadian itu juga, cermin pintu sebuah bas yang membawa penyokong Kedah FC turut pecah ditumbuk salah seorang suspek.

“Selain itu, dua suspek yang ditahan turut mengalami kecederaan di kepala dipercayai terkena balingan batu.

“Kesemua suspek yang berasal dari negeri ini, Kedah dan Sarawak tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mereka juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) dan kesemua yang ditahan direman selama dua hari sehingga esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi.

Terdahulu awal pagi ini, video kejadian itu yang memaparkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Penang FC dan Kedah FC tular di laman sosial media.

Pada perlawanan malam tadi, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang.

Pada perlawanan semalam juga, pengadil turut membatalkan gol kedua oleh Kapten tuan rumah, Rafael Vitor pada minit ke-66 gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti yang menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong tuan rumah.

Situasi tegang berlanjutan apabila pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op pula dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning yang kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya