TENOM: Perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, ditangguhkan pada bulan September ini.
Peguam mewakili Ebit, Ram Singh memohon agar sesi perbicaraan kali ini ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pihak pembelaan menyediakan soalan-soalan berkaitan gambar tangkap layar mesej perbualan dalan telefon bimbit Samsung Galaxy A31 milik pengadu.
Ram memberitahu, pihak pembelaan akan menyediakan soalan-soalan pemeriksaan balas bagi memudahkan mahkamah.
Justeru itu, beliau meminta mahkamah ditangguhkan ke tarikh perbicaraan yang telah dijadualkan sebelum ini iaitu pada 26 hingga 29 September depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi ketujuh, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz tidak dapat menghadiri perbicaraan pada September kerana saksi akan menghadiri kursus di Amerika Syarikat.
Maka, pihak pendakwaan memohon untuk meneruskan pemeriksaan utama dengan memanggil saksi kelapan iaitu pegawai penganalisis forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching.
Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudiannya memberitahu setelah mengambil maklum ada rayuan untuk memanggil saksi kelapan untuk memberi keterangan maka, saksi kelapan hanya akan dipanggil untuk pemeriksaan utama.
Maka, sekiranya ada bukti baharu yang dikemukakan kepada mahkamah, ia akan ditandakan sebagai bahan bukti.
Dalam pada itu, mahkamah turut menetapkan tarikh baharu bagi sambungan perbicaraan iaitu pada 21 hingga 20 November; 9 hingga 12 Januari dan 13 hingga 16 Februari 2024.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.-UTUSAN










