Pensyarah rugi lebih setengah juta ditipu sindiket 'phone scam' - Utusan Malaysia

Pensyarah rugi lebih setengah juta ditipu sindiket ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Perubahan sikap yang kerap memegang telefon bimbit, membongkar kisah seorang pensyarah wanita apabila kerugian lebih setengah juta akibat menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, wanita berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri dari syarikat penghantaran barang pada 3 Ogos lalu.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai dua bungkusan yang mengandungi lima keping kad pengenalan, lima keping pasport dan lima keping kad mesin juruwang automatik (ATM) atas nama orang lain.

“Panggilan telefon kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bukit Aman, suspek yang menyamar polis memaklumkan mangsa terlibat dalam sindiket penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

“Malah, mangsa juga diberitahu terdapat notis waran tangkap atas namanya sebelum diarahkan membuat pindahan wang bagi tujuan semakan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak 3 hingga 12 Ogos lalu, mangsa telah melakukan 25 kali transaksi ke dalam 16 akaun pemilik berbeza dengan jumlah keseluruhan RM537,659.89.

Katanya, mangsa hanya mengetahui dirinya telah diperdaya setelah ditegur suami atas perubahan sikapnya yang kerap memegang telefon bimbit.

“Suami mangsa mengesan sesuatu yang tidak kena setelah wanita itu cuba meminjam wangnya untuk membuat bayaran kepada individu tertentu.

“Mangsa telah membuat laporan polis kelmarin dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN