KOTA BHARU: Seorang peniaga maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain semasa sedang memotong kenderaan di depan Kompleks Padiberas Nasional Berhad (Bernas) Jalan Peringat di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 itu, mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang penunggang motosikal berusia 26 tahun parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, peniaga itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan dari arah Padang Mokkan melalui Jalan Peringat-Bachok.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, lelaki itu dipercayai memotong sebaris kenderaan di laluan sama.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal terbabit bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda C70 yang ditunggang lelaki berusia 26 tahun yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal para pada bahagian kepala sebelum dibawa untuk rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd.Rosdi memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN