PETALING JAYA: Dengan kelebihan 0.5 peratus berbanding pengundi lelaki, wanita mampu menjadi penentu dalam pilihan raya di enam buah negeri pada 12 Ogos ini.
Jumlah berdaftar pengundi wanita adalah seramai 4.9 juta orang atau 50.50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di enam negeri manakala pengundi lelaki seramai 4.8 juta orang dengan kelebihan 102,300 pengundi.
Pengundi wanita paling ramai di Selangor dengan kira-kira 1.8 juta diikuti Kedah (804,342), Kelantan (711,885), Pulau Pinang (631,677), Terengganu (466,168) dan Negeri Sembilan (432,575) selain Parlimen Kuala Terengganu (62,183) yang semuanya melebihi jumlah pengundi lelaki berdaftar.
Namun hanya 71 calon wanita bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini berbanding 501 calon lelaki. Calon wanita paling ramai adalah di Selangor iaitu 27, diikuti Kedah (14), Pulau Pinang (12), Kelantan (8), Terengganu (2) dan Parlimen Kuala Terengganu (0).
Di sebalik itu, terdapat beberapa manifesto yang mengutamakan kebajikan wanita antaranya Perikatan Nasional (PN) Selangor yang menawarkan 30 peratus wanita dalam jawatan utama di agensi dan anak syarikat kerajaan negeri, inisiatif Wanita Waja iaitu RM500 bagi tiga bulan untuk ibu tunggal, khidmat kaunseling dan motivasi serta latihan kemahiran dan pementoran.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga menawarkan manifesto berkaitan wanita seperti RM1,000 bantuan ibu bersalin anak pertama di Kelantan, Program Kasih Ibu Darul Aman di Kedah dan Tabung Khas Usahawanita berjumlah RM5 juta di Terengganu.
Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai apa yang mempengaruhi pengundi wanita dalam membuat keputusan. Sebabnya, jika wanita keluar mengundi, mereka juga mampu menjadi kingmaker kepada keputusan PRN Sabtu ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berpandangan, wanita masa kini terutamanya yang muda sudah mula cenderung untuk melibatkan diri dalam bidang politik atau pun mengambil tahu mengenai perkembangan semasa berkaitan politik.
“Oleh itu, mereka mempunyai pandangan dan pegangan politik peribadi yang mengambil kira perkara-perkara atau polisi yang boleh memberikan manfaat kepada mereka dan keluarga.
“Namun saya tidak nafikan masih ada wanita yang cenderung untuk mengikut pilihan politik suami atau ibu bapa mereka. Ini berkait rapat dengan pegangan dan pandangan politik secara menyeluruh keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi.
Young Syefura berkata, pengundi wanita juga mengambil tahu mengenai hal semasa berkaitan politik apabila turut serta dalam perkembangan semasa politik di Malaysia yang kini sudah menjadi satu topik yang sentiasa dibualkan oleh orang ramai lebih-lebih lagi apabila ia semakin tular di sosial media.
“Oleh itu, kecenderungan pengundi wanita terhadap politik kini semakin meningkat berbanding sewaktu 10 ke 20 tahun lalu wanita jarang mempunyai pandangan politik peribadi.
“Isu-isu berkaitan dengan wanita, kanak-kanak, keluarga, masyarakat dan juga warga emas sudah tentu menjadi keutamaan, perhatian dan pertimbangan mereka untuk mengundi kerana hal ini adalah yang dekat dengan mereka.
“Isu semasa seperti kenaikan harga barang juga menjadi perhatian dan pertimbangan wanita kerana kebanyakan wanita di negara kita walaupun mempunyai kerjaya masih tetap memegang kuasa membeli terutamanya barangan dapur untuk keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir menyifatkan, lebih ramai pengundi wanita yang cakna dengan politik kerana mereka tergolong dalam kumpulan berkerjaya sekali gus terlibat dengan isu politik semasa.
Katanya, ia meletakkan keprihatinan golongan wanita terhadap keputusan pilihan raya separas dengan golongan lelaki.
“Majoriti pengundi wanita bukan lagi suri rumah seperti dahulu, kebanyakan mereka bekerja, jadi apa yang dimahukan mereka lebih kurang sama seperti pengundi lelaki, mereka juga bimbang mengenai isu ekonomi.
“Apa yang penting, pengundi wanita mahukan pemimpin yang membantu mereka dan keluarga bukan sekadar beremosi dalam politik, tetapi politik yang tenang, yang ada agenda, yang ada empati, tanggung beban mereka, bantu duit poket mereka dan bantu mereka survive dengan kerajaan yang mereka pilih,” katanya. – UTUSAN










