PASIR MAS: Isu air bersih, capaian internet dan lampu jalan antara kemudahan infrastruktur yang dituntut penduduk di Kampung Tok Rusa, Meranti menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fauzi Dollah, 60, berkata, sudah puluhan tahun penduduk di kawasan itu berdepan dengan masalah tersebut tanpa penyelesaian tuntas dalam mengatasi perkara tersebut.
“Sebagai contoh bekalan air bersih. Mahu dapat cukup payah sehinggakan kami terpaksa bergantung kepada penggunaan telaga tiub.
“Walaupun keruh dan berbau busuk, kami terpaksa menggunakannya kerana tiada pilihan. Isu sebegini menyebabkan seolah-olah kampung kami terpinggir daripada pembangunan,” katanya ditemui di Kampung Tok Rusa di sini semalam.
Fauzi memberitahu, lampu jalan antara keperluan utama penduduk setiap kali waktu malam kerana jalan di sini sangat gelap.
Katanya, ketiadaan lampu jalan menyebabkan penduduk berdepan risiko kemalangan setiap kali melaluinya.
“Susah untuk orang kampung terutamanya yang pulang kerja lewat malam, ibu bapa terpaksa menunggu anak di jalan utama kerana anak-anak perempuan takut masuk ke kampung ini kerana jalan gelap,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Sakri Fauzi, 42, berkata, sudah lama pengundi muda di sini menuntut kemudahan capaian internet.
Katanya, negara sudah maju, tetapi penduduk di sini masih lagi tidak dapat menikmati capaian internet yang laju.
“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pernah datang ke kampung ini, tetapi sehingga ke hari ini tiada lagi apa-apa tindakan,” katanya. – UTUSAN










